Selasa, 30 Mei 2017

Sempadan baru PRU14 - yang mana menang, kalah



ULASAN - Awal bulan ini, kejayaan bersejarah dalam undang-undang tercatat apabila Pegawai Outreach BERSIH 2.0, Chan Tsu Chong dan enam orang lain telah diberi kebenaran dan perintah penangguhan untuk mencabar cadangan persempadanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi negeri Melaka.

Ini bermakna proses merangka semula sempadan pilihan raya bagi negeri Melaka dihentikan sehingga kes mahkamah selesai.

Perkembangan ini menambah kepada usaha yang telah dilakukan di negeri Selangor untuk mencabar cadangan baru SPR.

Kepentingan cabaran undang-undang bagi nasib Pilihan Raya Umum Keempat belas (PRU14) tidak boleh dipandang remeh.

Dorongan SPR untuk memperkenalkan sempadan baru adalah jelas. Sempadan baru yang dirangka itu bertujuan untuk mengalih imbangan kerusi demi menjamin kemenangan yang kuat bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Dorongan politik sempadan

Menurut penyelidikan Politweet, BN boleh memenangi 11 kerusi tambahan di Dewan Undangan Negeri Selangor berdasarkan sempadan baru yang dicadangkan pada bulan September 2016.

Sebelas kerusi ini akan dimenangi bukan atas sebarang perubahan dalam undi PRU13 tetapi hanya dengan mengalihkan pengundi ke bahagian pilihan raya yang strategik bagi BN.

Begitu juga, dalam cadangan September 2016 untuk negeri Melaka, kerusi Bukit Baru yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dengan lebihan sebanyak 48 undi pada PRU13 akan dimenangi oleh BN dengan lebihan 1,600 undi jika sempadan baru dipakai.

Kerusi marginal Telok Mas yang dimenangi oleh BN dengan hanya lebihan 700 undi pada PRU13 akan menjadi kerusi selamat dengan lebihan 3,000 undi.

Lebih buruk lagi, berdasarkan cadangan September 2016, kerusi Parlimen Bukit Katil yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU13 dengan hampir 7,000 lebihan undi kini akan dimenangi oleh BN dengan lebihan undi sebanyak 4,800.

Langkah ini amat mencurigakan kerana pada bulan Ogos 2016, sebulan sebelum cadangan itu disiarkan untuk tatapan umum, Ketua Menteri Melaka telah menggesa SPR untuk mengubah sempadan Bukit Katil agar BN akan dapat memenanginya dengan lebih mudah.

Corak yang sama muncul di seluruh negara. Di Perak, kerusi selamat Pakatan Rakyat pada PRU13, Changkat Jering dan Sungai Rapat, akan dimenangi oleh BN tanpa sebarang perubahan dalam undi. Di Kuala Lumpur, Nurul Izzah Anwar akan kehilangan kerusi Lembah Pantai.

Cabaran undang-undang

Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, SPR telah diheret ke mahkamah berkali-kali untuk menghentikan penipuan terang-terangannya yang dibuat melalui persempadanan.

Rakyat telah menunjukkan kemarahan mereka, di mana lebih daripada 1,000 bantahan dikemukakan kepada SPR antara September 2016 dan April 2017 berkenaan cadangannya.

SPR telah dibanjiri dengan kes undang-undang mengenai persempadanan.

Setakat ini, 11 kes telah difailkan di mahkamah di seluruh negara untuk mencabar kekurangan maklumat yang diberikan (ya, antara lain, SPR juga tidak mahu memberitahu pengundi apakah kesan persempadanan semula terhadap mereka), cadangan yang tidak mematuhi perlembagaan dan keengganan SPR untuk mengadakan siasatan tempatan walaupun ia dimestikan oleh undang-undang.

 Setakat ini, ada beberapa hakim Mahkamah Tinggi yang berani dan bersedia untuk mengambil pendirian.

Hakim Azizul Azmi Adnan bagi kes Selangor dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bagi kes Melaka telah memberi kebenaran untuk mendengar hujah kes dan telah menangguh tindakan lanjutan SPR dalam penggarisan semula sempadan di kedua-dua negeri.

Cabaran kerajaan Negeri Selangor kini sedang dibicarakan di mahkamah dan kita telah pun mendengar beberapa kenyataan mengejutkan daripada SPR, termasuk kemusnahan maklumat yang berkaitan dengan 136,000 alamat dalam daftar pemilih.

Saya fikir adalah adil untuk mengatakan bahawa kita boleh menjangkakan lebih banyak lagi penjelasan yang tidak masuk akal daripada SPR dengan berlangsungnya kes tersebut.

Kesan terhadap PRU14

Walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi SPR jangkamasa sehingga dua tahun untuk menyelesaikan proses persempadanan semula, SPR seolah-olah terdesak untuk menghabiskan proses tersebut secepat mungkin. Apakah sebabnya? Kita hanya boleh mengagak sebabnya.

Jika SPR betul-betul memandang berat terhadap pematuhan perlembagaan, sebaik sahaja mahkamah membenarkan penangguhan untuk negeri Selangor, sepatutnya proses bagi seluruh semenanjung Malaysia turut berhenti.

Ini kerana perlembagaan menyatakan semenanjung Malaysia mesti dianggap sebagai satu unit apabila pemetaan bahagian pilihan raya dibuat.

Namun SPR telah memutuskan untuk meneruskan proses persempadanan semula dengan "tidak termasuk negeri Selangor".

Adalah jelas SPR mahu cadangan mereka diwartakan tanpa menghiraukan apa kata mahkamah. Ia menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Perkembangan positif dalam hal ini ialah kemungkinan sempadan kerusi Parlimen dan negeri di Selangor terselamat daripada perubahan yang akan membawa kepada pilihan raya yang dimanipulasi dalam negeri yang amat sangat dimenangi oleh BN.

Bagi tempat-tempat selainnya di negara kita, kita hanya berupaya mengagak apa rancangan SPR.

Ada kemungkinan SPR akan mengambil langkah melanggar perlembagaan dengan menyampaikan cadangan akhirnya kepada Perdana Menteri tanpa melengkapkan proses untuk negeri-negeri Selangor dan Melaka.

Perdana Menteri seterusnya boleh membentangkan sempadan baru di Parlimen pada akhir bulan Julai dan mengumumkan pembubaran Parlimen menjelang Ogos. Pilihan raya umum boleh diadakan seawal bulan September.

Muslihat SPR sama

Kami sedar bagaimana proses ini dilaksanakan sekiranya SPR bukan setakat boneka parti pemerintah.

Perlembagaan menyatakannya dengan jelas: Semua bahagian pilihan raya di negeri yang sama mesti mempunyai jumlah pengundi yang "lebih kurang sama" dan SPR mesti berusaha untuk mengekalkan hubungan tempatan dalam merangka sempadan.

Sekiranya SPR adil, tidak akan wujud di Selangor bahagian pilihan raya yang mempunyai lebih daripada 150,000 pengundi (Petaling Jaya Utara) dan yang lain pula seramai 37,000 pengundi (Sabak Bernam).

Tidak akan wujud sempadan yang membelah bahagikan rumah, masyarakat semata-mata untuk mengikut corak mengundi tertentu. Majlis-majlis tempatan tidak akan berselang-silang dengan sempadan bahagian pilihan raya, menyebabkan ahli majlis perlu berhubung dengan pelbagai Ahli Parlimen mengenai isu-isu tempatan.

Pada tahun lalu, keyakinan orang ramai terhadap SPR telah dihakis lagi. SPR telah melarang pengedaran rang daftar pemilih tambahan kepada orang ramai. SPR telah membenarkan orang tertentu untuk mendaftar di kawasan yang mereka tidak pernah tinggal.

SPR telah mengongkong usaha pendaftaran pengundi dengan menghadkan jumlah borang yang disediakan. Tindakan SPR berhubung dengan persempadanan semestinya paku terakhir buat kerandanya.

Walaupun BERSIH 2.0 akan terus berjuang untuk pembaharuan dan SPR yang bebas sebelum PRU14, apa yang paling penting sekarang ialah kuasa rakyat untuk mengatasi penipuan dan manipulasi ini.

Rakyat mesti sekali lagi keluar mengundi dan pastikan undi mereka dikira. Hanya melalui peratusan keluar mengundi yang tinggi pada hari pilihan raya, barulah kita berpeluang untuk mengatasi taktik kotor SPR.


ZOE RANDHAWA adalah pegawai advokasi BERSIH 2.0

Tiada ulasan: