Ahad, 7 Mei 2017

Selangor mahu takwim hijri diperluas dalam urusan pentadbiran

OLEH NAZLI IBRAHIM

 BANGUNAN SUK

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif supaya penggunaan kalendar tarikh hijri diperluaskan penggunaannya di dalam semua urusan pentadbirannya.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau berharap supaya tarikh hijri dinyatakan di dalam semua urusan surat menyurat, minit mesyuarat, kalendar terbitan jabatan, banner dan bunting program jabatan dan lain-lain.

“Kini sudah sampai masanya penggunaan takwim hijri ini diperkasakan dan diperluaskan penggunaannya di dalam urusan pentadbiran.

“Ia sebagainya sebagai usaha mendidik masyarakat Islam mencintai keunggulan agama Islam selain dapat menarik minat masyarakat awam untuk memahami ketinggian ilmu Islam itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Falak Selangor 2017 di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Jelutong di sini, semalam.

CP2A3822-1024x683

Jelasnya, senario pada hari ini menyaksikan ramai yang tidak mengambil berat, malah tidak mengetahui hari dan bulan Islam kerana mewarisi penggunaan kalendar Masihi yang menjadi amalan penggunaan tarikh global.

Bagaimanapun katanya, penggunaan tarikh masihi bukanlah satu kesalahan berikutan kalendar masihi digunakan secara global oleh masyarakat dunia.

“Namun, kepekaan terhadap tarikh hijri dan penggunaannya perlu diperkasakan.

“Kita bersyukur kerana setidak-tidaknya negara kita mementingkan penggunaan tahun hijrah dari sudut cuti umum seperti 1 Muharam, 12 Rabiul Awal, awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di mana dapat membantu masyarakat awam untuk turut peka terhadap penggunaan takwim hijri ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Yunus telah merasmikan seminar yang melibatkan lebih 100 perserta termasuk peserta luar Selangor.

Seminar itu melibatkan beberapa ahli akademi yang pakar dalam bidang falak.=EZY=

Tiada ulasan: