Sabtu, 6 Mei 2017

‘Saya mahu laporan penuh’


‘Saya mahu laporan penuh’
Zambry (duduk, dua kanan) pada sidang media selepas menyampaikan ucapan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dun Belia Perak, hari ini.
IPOH - Kerajaan negeri meminta Kementerian Pengangkutan dan Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) menyediakan laporan lengkap mengenai insiden mendapan tanah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Khamis lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut memandangkan kajian terperinci sudah dibuat pihak berkenaan ketika kerja-kerja baik pulih dan memanjangkan landasan dilaksana sebelum ini.

Menurutnya, kajian-kajian yang dibuat sebelum ini meliputi pelbagai aspek seperti keadaan tanah di kawasan tersebut dan ia dilaporkan tiada masalah ketika itu.

"Demikian juga suatu ketika dahulu pernah ada laporan dikatakan ada aliran air di bawah (lapangan terbang). Kajian juga telah dibuat dan diluluskan untuk pembinaan selepas dipastikan lapangan terbang itu selamat.

"Saya yakin bahawa pihak MAHB juga melakukan langkah-langkah pemeriksaan teknikal di kawasan berkenaan dan semalam saya difahamkan lapangan terbang sudahpun dibuka walaupun jangkaan awal dikatakan lapangan terbang akan ditutup seminggu," katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dun Belia Perak, di Bilik Sidang Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Semalam, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam sidang medianya selepas meninjau keadaan LTSAS memaklumkan lapangan terbang itu ditutup sementara waktu berikutan berlakunya mendapan tanah hingga terbentuk lubang berukuran 12 sentimenter dengan kedalaman satu meter.

Katanya, keadaan itu menyebabkan 12 penerbangan pergi balik yang membawa 846 penumpang dari Ipoh, Johor Bahru dan Singapura terjejas.

Bagaimanapun landasan tersebut dibenar untuk digunakan pada jam 5 petang semalam selepas lebih 22 jam tidak boleh digunakan dengan pesawat Tigerair yang membawa penumpang dari Singapura merupakan kapal terbang pertama mendarat di LTSAS.

Tiada ulasan: