Khamis, 25 Mei 2017

Saya bersumpah tak terima walau satu sen wang 1MDB, kata Muhyiddin

Oleh Amin Iskandar
Saya bersumpah tak terima walau satu sen wang 1MDB, kata Muhyiddin
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan beliau dan Shafie Apdal menjadi penerima terbesar wang 1MDB seperti didakwa Menteri Pelancongan Nazri Aziz sebelum ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain
 
BEKAS timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin menafikan menerima wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti didakwa Menteri Pelancongan Mohamed Nazri Aziz.

Presiden Bersatu itu turut bersumpah menafikan beliau dan Shafie Apdal menjadi penerima terbesar wang 1MDB seperti didakwa Nazri sebelum ini.

"Saya bersumpah Wallahi, Wabillahi dan Wattallahi saya dan Shafie tak terima satu sen pun wang 1MDB.

"Itu fitnah. Tiada satu sen pun yang masuk dalam poket. Pakej umrah itu ditaja oleh syarikat.

"Mana ada duit? Dia (Nazri) dah tak boleh nak jawab, dia cuba tepis sana-sini, lama-lama tak boleh jawab dah," katanya dalam ucapan pada program "Jelajah Semarak: Selamatkan Malaysia Selamatkan Rakyat" anjuran Bersatu di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru di Kuala Lumpur malam ini.

Muhyiddin berkata, yang beliau dan Shafie persoalkan ialah wang RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

Turut bersama berceramah bersama Muhyiddin pada malam tadi ialah Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang dikatakan akan bersama program malam tadi tidak menghadirkan diri kerana dikatakan mempunyai urusan rasmi.

Muhyiddin turut berkata, Nazri sebenarnya takut untuk berdebat dengan pengerusi Bersatudan mencari alasan untuk mengelakkannya.

"Jika Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menang pada PRU14, kita tubuhkan inkuiri untuk menyiasat skandal 1MDB.

"Kita akan bawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan walaupun perdana menteri," katanya.
Nazri sebelum ini mendedahkan formula bagaimana dua bekas pemimpin kanan Umno, Shafie dan Muhyiddin menerima dana dari wang derma RM2.6 bilion lebih daripadanya.

Katanya, Umno menyalurkan bantuan kepada kepada semua ketua bahagian parti untuk diserahkan kepada cawangan bagi membaiki lima buah rumah sebelum PRU13.

“Saya adalah ketua Umno Padang Rengas dan ahli Parlimen Padang Rengas. Shafie dan Muhyiddin pun sama macam saya juga. Jadi sebelum PRU13 kami ketua bahagian, kami dapat duit daripada Umno Pusat untuk membaiki rumah.

“Setiap rumah diberi RM5,000 dan setiap cawangan diminta untuk memberi lima buah rumah untuk dibaiki. Saya terima duit itu... jadi saya ada 60 cawangan Umno, jadi 60 darab lima bagi rumah jumlahnya RM1.5 juta, saya terima melalui pusat khidmat.

“Saya kata Shafie terima lebih daripada saya sebab kawasan Semporna banyak cawangan, ada lebih 200 ketua cawangan dan Muhyiddin 100 lebih ketua cawangan, saya cuma 60 je,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sebelum ini Shafie mengetuai Semporna manakala Muhyiddin pula mengetuai Pagoh sebelum disingkirkan daripada Umno.

Tiada ulasan: