Sabtu, 27 Mei 2017

SATU LAGI CABARAN BUAT NAJIB

shahbudindotcom

Berbeza dengan banyak pendedahan lain yang saya buat kebelakangan ini, saya agak terkejut apabila Setiausaha Media Perdana Menteri, Dato’ Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat.

Saya memetik satu perenggan kenyataan rasmi tersebut yang diterjemahkan seperti di bawah:

“.. Walau bagaimana pun, bertentangan dengan laporan media dan pengisytiharan yang difailkan, Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan, melantik atau memberi kontrak baik kepada Godfrey Group Ltd, firma 45 Group atau (bekas pembantu Presiden Trump) Healy Baumgardner-Nardone..”

Maksud kenyataan media rasmi Pejabat Perdana Menteri ialah sementara Pejabat Perdana Menteri tidak menafikan kesahihan pengisytiharan kerja-kerja melobi yang difailkan oleh bekas pembantu Presiden Trump itu, Pejabat Perdana Menteri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan atau melantik firma-firma yang dinamakan di dalam pengisytiharan yang difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu.

Ini bukanlah kali pertama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menggunakan alasan sebegini untuk menafikan sesuatu. Dalam kes dana awam dari SRC International Limited, beliau dilaporkan menyatakan di dalam kes saman yang sedang berjalan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dana yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau. 

Saya mengesyaki semasa kenyataan media rasmi ini dikeluarkan, Pejabat Perdana Menteri tidak sedar bahawa satu lagi pengisytiharan tambahan telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump, Healy Baumgardner-Nardone.

Pengisytiharan tambahan itu memberi maklumat yang lebih jelas mengenai siapa yang terlibat, siapa di belakang syarikat misteri Godfrey Group Limited yang menjadi pengantara di antara Pejabat Perdana Menteri dan pelobi di Washington serta perjanjian yang ditandatangani.

Saya sertakan keseluruhan dokumen pengiystiharan iaitu Exhibit A dan Exhibit B (yang melampirkan perjanjian lantikan untuk kerja-kerja melobi di antara Godfrey Group Limited dan 45 Group).

Daripada dokumen-dokumen pengisytiharan ini, kita dapat mengesahkan perkara-perkara berikut:

1) Dato’ Seri Najib disahkan sebagai pegawai kerajaan yang berurusan dengan pelobi di Amerika Syarikat (lihat Perkara 6 dalam Exhibit A).

2) Walaupun kontrak lantikan melobi ini tidak dibayar oleh Kerajaan Malaysia, pelobi di Washington tetap berurusan dengan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan kenyataan media Pejabat Perdana Malaysia semalam kononnya Pejabat Perdana Malaysia atau Kerajaan Malaysia “tidak tahu menahu” adalah tidak tepat.

3) Kontrak melobi ini turut melibatkan usaha mengatur pertemuan di antara Kerajaan Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia.

4) Perjanjian ini dibuat oleh Godfrey Group Limited yang didaftarkan sebagai syarikat pesisir pantai (offshore company) di British Virgin Island (BVI) yang bermaksud syarikat ini dilindungi dengan kerahsiaan dan tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu siapa yang memiliki syarikat ini.
 
5) Bekas pembantu Trump, Healy Baumgardner-Nardone dibayar USD25,000 (bersamaan RM100,000) setiap bulan pada awal bulan untuk menyediakan perkhidmatan melobi ini
 
6) Syarikat Godfrey Group Limited (walaupun didaftarkan dalam penuh kerahsiaan di British Virgin Island) menggunakan alamat surat menyurat di Taman Molek, Johor Bahru.
 
7) Perjanjian lantikan kontrak melobi ini ditandatangani oleh seorang yang bernama Florence Goh mewakili Godfrey Group Limited.
 
Dokumen-dokumen ini secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Malah Dato’ Seri Najib sendiri dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma melobi ini.

Saya dengan segera cuba menyemak latar belakang Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Limited.

Alamat 42, Jalan Molek 2/3 membawa kepada sebuah syarikat yang benar-benar wujud iaitu CRT Insights Technologies Sdn Bhd yang disenaraikan sebagai sebuah pembekal khidmat latihan yang berdaftar dengan Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) Kementerian Sumber Manusia, seperti di bawah:

https://www.hrdf.com.my/DigiGov/digigovportal.htm?actionFlag=SC_getSearchCompoPage&isPopup=0&isAnonymous=true&tableid=row&d-16544-p=5&hideActionBtns=Y&screenMode=edit&elementId=1100889&applicationMstId=1100011&defaultSearchCrt=1100100~1~N~N&changeLang=en_US

Dari situ, saya membuat carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mengesahkan bahawa CRT Insights Technologies Sdn Bhd benar-benar wujud dan dimiliki oleh seorang bernama Goh Siew Boey yang maklumatnya nampak sama dengan Florence Goh seperti di dalam perjanjian kontrak melobi yang diisytiharkan di Amerika Syarikat.

Saya sertakan carian SSM yang menamakan Goh Siew Boey sebagai pemegang saham dan pengarah CRT Insights Technologies Sdn Bhd. Alamat perniagaan CRT Insights Technologies Sdn Bhd adalah sama dengan alamat Godfrey Group Limited di 42, Jalan Molek 2/3.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya menyeru supaya:

i. Dato’ Seri Najib berterus terang dan menyatakan sama ada 45 Group (yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump) telah berbohong apabila menamakan Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan dengan beliau (Healy Baumgardner-Nardone);

ii. Jika Healy Baumgardner-Nardone telah berbohong di dalam pengisytiharan kerja melobi yang difailkan sehingga mengheret nama Dato’ Seri Najib, maka Kerajaan Malaysia perlulah dengan serta merta mengambil tindakan undang-undang terhadap Healy Baumgardner-Nardone dan memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat bahawa pengisytiharan yang difailkan adalah tidak benar;

iii. Florence Goh memberi keterangan terbuka secepat mungkin siapa yang menyuruh beliau (melalui Godfrey Group Limited) melantik bekas pembantu Presiden Trump melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Pejabat Perdana Menteri;

iv. Florence Goh dengan segera menyatakan dari mana dana RM1.125 juta (atau USD250,000) diperolehi untuk membayar syarikat lobi 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan Malaysia; dan

v. Jika benar kenyataan media Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa Kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai perkara ini, maka Dato’ Seri Najib perlu membuat laporan polis serta merta kepada Florence Goh kerana telah melakukan jenayah menggunakan nama Kerajaan Malaysia tanpa kebenaran dan menyamar mewakili Kerajaan Malaysia.

Saya berharap Dato’ Seri Najib sedar bahawa perkara ini akan terus mendapat perhatian di Amerika Syarikat dan di Malaysia; seterusnya mencemarkan lagi reputasi beliau yang sudah pun tercemar. 

Beliau tidak boleh beranggapan dengan memberi kenyataan mudah seolah-olah syarikat Godfrey Group dan Florence Goh telah “menderma” (sekali lagi) demi kebaikan Kerajaan Malaysia tanpa pengetahuan beliau, perkara ini akan hilang begitu sahaja.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
27 MEI 2017.

Ulasan Blog - Ini adalah satu lagi cabaran terbuka untuk Perdana Menteri, Najib Razak. Sekiranya beliau ada kejujuran dan tiada apa-apa yang hendak dilindungkan, tidaklah sukar sebenarnya untuk menyahut apa yang dituntut Rafizi ini.

Seluruh rakyat tentunya ingin benar tahu juga kebenaran mengenai perlantikan serta bayaran lumayan kepada pelobi di Amerika Syarikat itu. Meskipun semalam Pejabat Perdana Menteri telah membuat penafian, tetapi nampaknya dengan bukti-bukti baru yang ditunjukkan,  menafi kosong saja tidak lagi memadai.

Penjelasan yang lebih konkrit dan meyakinkan adalah diperlukan, atau setidak-tidaknya sebagaimana yang disebut oleh Rafizi, buat saja laporan polis mengenainya.

Sebaiknya juga Najib sendiri harus berani tampil dengan jawapannya. Jika kita masih ingat, Tun Mahathir Mohamad turut pernah dikaitkan dengan membayar sejumlah wang kepada pelobi Amerika Syarikat ketika era pentadbiran George Bush dahulu, tetapi beliau tidak pernah takut untuk tampil menjelaskannya.

Maka, dalam kes ini, Najib juga tidak seharusnya takut untuk tampil dengan kata-kata daripada mulutnya sendiri, bukan lagi melalui pegawainya semata-mata.
 
 
 

Tiada ulasan: