Khamis, 18 Mei 2017

Sanggupkah Ku Nan dan keluarga gunakan pengangkutan awam ke KL?

 Berita Daily Staff

Adakah pengangkutan awam kita mempunyai kadar efisien yang tinggi setanding bandar-bandar model yang dinyatakan Tengku Adnan seperti Tokyo, Hong Kong, Melbourne dan London?

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin PKR tampil ke hadapan mencabar Menteri Wilayah Perseketuan Tengku Adnan Tengku Mansor dan keluarganya menggunakan pengangkutan awam untuk urusan kerja ke Kuala Lumpur setiap hari.

Cabaran tersebut dibuat oleh Bendahari Agung PKR Dr Tan Yee Kew susulan rancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengadakan bangunan tanpa parkir apabila projek MRT Lembah Klang Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya siap.

“Saya mengambil maklum kenyataan Tengku Adnan berkenaan hasrat DBKL mengadakan bangunan tanpa parkir. Sudah tentu kenyataan ini mendapat respon negatif daripada orang ramai memandangkan kajian tersebut tidak relevan dengan situasi yang dihadapi kini.”

“Adakah pengangkutan awam kita mempunyai kadar efisien yang tinggi setanding bandar-bandar model yang dinyatakan Ku Nan seperti Tokyo, Hong Kong, Melbourne dan London? ” soalnya.

“Ini persoalan utama yang perlu dijawab oleh Menteri sebelum membuat kajian lanjutan,” kata Dr Tan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, secara realitinya, alternatif kepada kenderaan persendirian memang tidak mendapat perhatian masyarakat ibu kota.

“Memandangkan kita melihat kos tambang, kekerapan pergerakan, keselesaan pengguna serta ketepatan masa masih menjadi isu besar apabila berbicara mengenai pengangkutan awam,” tegas beliau.

“Tanyalah menteri, adakah beliau dan keluarganya sanggup gunakan LRT, bas dan monorel untuk urusan kerja di Kuala Lumpur setiap hari? Barangkali jawapannya adalah “Saya takut keluarga saya diculik”, seperti mana jawapan beliau berhubung isu pengisytiharaan harta,” tambahnya lagi.

Dr Tan turut menegas bahawa kenyataan yang dikeluarkan Tengku Adnan adalah hanyalah untuk menghalalkan sebarang bayaran kos untuk kajian yang tidak relevan.

Menyentuh isu pengangkutan awam, Dr Tan syorkan agar DBKL perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana untuk berbincang dan mengambil tindakan mengenai cara-cara meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Beliau turut menyenarai pendek beberapa cadangan. Antaranya:-

* Wujudkan jaringan yang lebih menyeluruh dan sistematik dengan memastikan pergerakan bas dan tren dapat menghubungkan dua destinasi dengan lebih cepat.

Pelarasan masa ketibaan juga perlu dilaksanakan agar penumpang tidak membazir masa semata-mata menunggu dalam tempoh yang lama.

* Kurangkan harga tambang kos pengangkutan awam melalui pemberian subsidi.

Difahamkan bahawa terdapat kemudahan bas percuma GO KL, sama seperti konsep Bas Selangorku yang diperkenalkan oleh Kerajaan Selangor.

* Prasarana perlu berusaha menambah hasil bukan tambang terutama melalui servis pengiklanan.

Amalan ini telah diimplimentasikan oleh pengusaha pengangkutan awam di negara luar, sebagai cara untuk menambahkan pendapatan tanpa menaikkan tambang penumpang.

* Pastikan biro aduan awam SPAD dan Prasarana aktif dalam memberi respon, terutama mengenai cadangan memperbaiki kualiti keselesaan dan keselamatan.

Rakyat juga perlu dididik dengan berani untuk memberi kritikan dan pandangan, dengan syarat pihak pengurusan juga perlu aktif dalam tindakan penambahbaikan.

Tambahnya, cadangan-cadangan peribadi beliau ini boleh dihuraikan dalam kajian yang sepatutnya dilakukan DBKL, bukannya dengan larang letak kenderaan di bangunan.

“Sama ada ini tanda DBKL akan menaikkan harga parkir ataupun mahu laksanakan projek atas tapak letak kenderaan, ianya adalah alasan yang tidak munasabah,” ujarnya.

Terdahulu semalam, DBKL berkata sedang merancang untuk mengadakan bangunan tanpa parkir apabila projek MRT Lembah Klang Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya siap, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Beliau berkata ia sebagai langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Apabila projek MRT sudah siap dan mula beroperasi, tidak perlu ada banyak ‘parking bay’ kerana warga kota akan lebih kerap menggunakan pengangkutan awam termasuk LRT dan bas awam,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Pekerja Peringkat DBKL.

Tiada ulasan: