Ahad, 7 Mei 2017

Sabah tak perlu jadi negeri ‘orang suruhan’ kerajaan Persekutuan

 
Bekas menteri berkata Sabah terpaksa mengenakan cukai jualan kepada sektor swasta kerana tidak cukup hasil untuk perbelanjaan kerajaan negeri.


Yap-Pak-Leong

KOTA KINABALU: Sabah tidak seharusnya menjadi “negeri orang suruhan” kepada kerajaan Persekutuan, kata bekas menteri Sabah hari ini.

Datuk Yap Pak Leong berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri Sabah membantu sektor swasta tempatan dengan menghapuskan cukai tertentu yang dikenakan kepada mereka.

“Dalam ucapan pertama saya di DUN Sabah pada 1967, saya minta ketua menteri dan pemimpin lain berhati-hati dan tidak menjadi ‘orang suruhan’ perdana menteri di bawah kerajaan persekutuan.

“Saya masih melakukan perkara yang sama di luar DUN dan meminta pemimpin kerajaan negeri mengulangi sumpah jawatan mereka,” katanya dalam satu komen di Borneo Today hari ini.

Yap pernah berkhidmat sebagai menteri di Kementerian Tenaga Kerja dan Pembangunan Alam Sekitar Sabah dari 1976 hingga 1979 dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dari 1976 hingga 1982.

Beliau kini pengarah dalam syarikat awam tersenarai.

Yap berkata seperti yang dipersetujui sebagai syarat Sabah menyertai dan membentuk Malaysia pada 1962, 40% hasil persekutuan Sabah perlu diberikan kepada kerajaan negeri setiap tahun dan Sabah berhak mendapat hasil royalti perlombongan termasuk minyak fosil, tanah dan sumber alam yang lain.

“Perkara ini turut dipersetujui pemimpin British, Tanah Melayu dan Singapura yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, akibat pengisytiharan darurat pada 13 Mei 1969, Sabah hilang hak kewangan melalui perlembagaan sehingga darurat itu ditarik balik Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri,” katanya.

Yap berkata kerajaan Sabah bertahun-tahun mengenakan cukai kepada sektor swasta negeri itu melalui cukai jualan sebanyak 7% ke atas minyak sawit dan 15% ke atas loteri awam.

“Sabah terpaksa mengenakan itu kerana tidak mempunyai hasil negeri yang cukup untuk perbelanjaan kerajaan negeri.

“Menakjubkan walaupun selepas menarik balik darurat selama bertahun-tahun, keadaan masih tidak berubah.

“Melalui kutipan cukai itu, Sabah memperoleh kira-kira RM1.1 bilion setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata sektor swasta Sabah tidak mengambil bahagian dalam beberapa inisiatif ekonomi kerajaan negeri kerana mereka kehilangan RM1.1 bilion kepada kerajaan negeri setiap tahun.

“Hampir semua pelaburan baru di Sabah dalam bidang perhotelan, kompleks komersial, ladang penternakan udang, kilang kertas dan lain-lain dijalankan oleh pelabur dari Semenanjung yang tidak terbeban dengan cukai jualan di Semenanjung dan pelabur asing yang kaya dari Singapura dan China.

“Kelemahan sektor swasta Sabah akan kekal sehingga kerajaan negeri menghapuskan cukai jualan ke atas minyak sawit dan loteri awam dan menggantikannya dengan 10% kutipan royalti minyak daripada syarikat mengeluarkan minyak di Sabah dan jika Sabah memperoleh 40% hasil persekutuannya.”

Yap memberi amaran “kelemahan” yang berterusan terhadap sektor swasta akan memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial di Sabah.

Tiada ulasan: