Selasa, 2 Mei 2017

Rotan tapak kaki tetapi bukan sampai cedera, kata bekas pelajar tahfiz

 
Imam masjid yang pernah menghadiri sekolah tahfiz dulu berkata bentuk hukuman seperti merotan merupakan pilihan terakhir.


rotan

PETALING JAYA: Seorang bekas pelajar tahfiz mengakui wujud hukuman sama yang didakwa dilalui Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, pelajar malang sekolah tahfiz yang meninggal dunia minggu lalu beberapa hari selepas dipukul dengan paip getah.

Mohd Zunnurain Abdul Khohar, 28, yang kini bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Johor Bahru, berkata hukuman seperti itu dijalankan ke atas mereka yang meninggalkan asrama tanpa kebenaran.

“Kalau rotan di tapak kaki untuk kes seperti cabut (lari) sekolah dan keluar malam. Biasanya kalau ditangkap, mereka akan dirotan di kaki,” katanya kepada FMT baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia menafikan hukuman di sekolah tahfiz mencederakan pelajar.

“Jika teruk sangat, tindakan lebih keras hanyalah pelajar itu akan dibuang sekolah,” katanya.

Baru-baru ini, sekolah tahfiz di seluruh negara menjadi fokus susulan kematian Thaqif pada 26 April.

Kes pelajar 11 tahun itu mendapat perhatian meluas selepas dakwaan dia cedera di bahagian kaki selama 2 minggu, dipercayai akibat dipukul dengan paip getah oleh pembantu warden di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Kedua-dua kakinya dipotong kerana mengalami jangkitan dan pembekuan darah. Polis masih menahan reman seorang lelaki untuk siasatan.

Zunnurain bagaimanapun berkata hukuman merotan merupakan pilihan terakhir di sekolahnya dulu, dan berkata sepanjang pengalamannya, belum pernah lagi ada guru yang merotan pelajar sehingga mendatangkan kecederaan.

Katanya, seorang pelajar tahfiz yang “betul-betul degil sekalipun” sama ada akan dirotan di tapak tangan sebanyak 3 kali.

“Biasanya guru tahfiz akan memberi nasihat terlebih dahulu dan sekiranya pelajar itu mengulangi kesalahannya, barulah guru itu rotan di tapak tangan.”

Tiada ulasan: