Khamis, 11 Mei 2017

Reezal: Tiada rancangan hantar duta kembali ke Korea Utara

MALAYSIAKINI


Malaysia tidak bercadang untuk menghantar dutanya kembali ke Korea Utara buat masa ini, lapor akhbar Nanyang Siang Pau.

Ini walaupun hubungan antara kedua-dua negara telah "bertambah baik", ekoran krisis selepas pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di KLIA 2 pada 12 Februari lalu.

"Hubungan kita tidak lagi tegar, (malah hubungan dua hala) bertambah baik. Apabila kita dapatkan rakyat kita kembali ke negara ini, ia adalah satu detik kemenangan," lapor akhbar harian berbahasa Cina itu memetik Timbalan Menteri Luar, Datuk Reezal Merican Naina Merican sebagai berkata.

"Malaysia dan Korea Utara tidak memutuskan hubungan (antara satu sama lain), hanya hubungan kita tidak seperti sebelumnya. Kita tidak harus membangkitkan isu ini," katanya ketika ditanya mengenai pasukan bola sepak Malaysia yang dijadual bertemu dengan pasukan Korea Utara di pusingan kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang, bulan depan.

Mengulas lanjut, Reezal berkata tidak sesuai untuk menghantar duta kembali ke Korea Utara sekarang kerana negara itu bukan sahaja mempunyai isu dengan Malaysia, tetapi juga dengan negara-negara lain.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin melawat Korea Utara supaya bersikap berhati-hati untuk keselamatan mereka sendiri.

Berikutan pembunuhan Jong-nam dengan ejen saraf VX, Pyongyang menafikan sebarang peranan dalam kejadian itu dan menuntut diserahkan mayatnya badannya - yang ditolak Malaysia, sementara menunggu siasatan.

Ini menyebabkan ketegangan hubungan antara kedua negara, dengan Malaysia menarik balik dutanya, Datuk Mohamad Nizan Mohamad pada 20 Februari untuk "perundingan".

Pada 4 Mac, Malaysia diisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai persona non grata dan mengarahkannya meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam. Ini selepas pegawainya mengeluarkan beberapa kenyataan yang membayangkan Malaysia bersubahat dengan Korea Selatan untuk menyalahkan Korea Utara dalam pembunuhan Jong-nam.

Tiada ulasan: