Selasa, 9 Mei 2017

Rakyat menanti janji BN di Balik Pulau masih tidak tertunai

MOHD ALI HASHIM


Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya untuk membina blok tambahan Hospital Balik Pulau masih tidak lagi ditunaikan kerajaan BN.Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya untuk membina blok tambahan Hospital Balik Pulau masih tidak lagi ditunaikan kerajaan BN.


Untuk membuat pelbagai janji memanglah mudah, tetapi untuk menunaikan janji-janji manis tersebut bukanlah semudah apa yang dijanjikan oleh Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke 13 yang lalu.

Akibat dari janji-janji tersebutlah lebih 22 ribu pengundi dalam Parlimen Balik Pulau telah sanggup untuk memberi mandat kepada Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke 13 yang lalu.

Manakala lebih 20 ribu pengundi telah memberikan mandat kepada PKR untuk menyaingi BN dalam pilihan raya umum yang lalu.

Zolkifly Md LazimZolkifly Md LazimMenurut Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Balik Pulau, Zolkifly Md Lazim, BN sepatutnya sudah pun menunaikan janji tersebut kerana ia telah pun melewati hampir lima tahun.

"Antara janji Umno dan BN semasa pilihan raya umum 2013 ialah untuk membina UiTM Balik Pulau, tetapi ternyata ia hanya janji-janji kosong.

"Begitu juga dengan janji Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato Seri Dr Hilmi Yahaya untuk membina blok tambahan Hospital Balik Pulau serta menaik taraf hospital tersebut dengan peruntukan RM22.5 juta yang sekian lama diwar-warkan turut menjadi angan-angan yang tidak kesampaian.

"Umno dan BN turut menjanjikan untuk membina cawangan Universiti Utara Malaysia, tetapi menerima nasib yang sama apabila mendakwa tiada bajet untuk menunaikan janji-janji manis tersebut, " ujarnya kesal.

Zolkifly juga berkata, Taman Negara yang dijanjikan akan dinaiktaraf menjadi tarikan pelancongan dengan ternakan kancil, kijang dan napuh juga tidak menjadi kenyataan walaupun telah dijanjikan sebelum ini.

"Pengkhianatan pemimpin Umno Pulau Pinang khususnya di Balik Pulau semasa mereka memerintah sebelum ini yang menjual tanah orang Melayu di Kampung Terang, amat dirasai sehingga sekarang oleh penduduk kawasan terlibat.

"Akibat dari amalan khianat dan tidak amanah mereka, kini ramai antara orang Melayu di sini, hilang hartanah hasil keboborokkan pimpinan Umno yang menerajui kepimpinan sebelum mereka kalah dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Kini pengundi Balik Pulau yang mencecah lebih 50 ribu orang menuntut supaya Dr Hilmi yang juga merupakan Timbalan Menteri Kesihatan supaya segera melaksanakan apa yang telah dijanjikan sebelum membuat janji-janji baru menjelang pilihan raya umum yang akan datang, " tegasnya lagi.

Beliau juga yakin pilihan raya umum ke 14 akan mampu membawa perubahan setelah pengundi Balik Pulau sedar bahawa mereka selama ini telah ditipu oleh pemimpin Umno- BN.

Malah katanya, perkembangan terkini dengan perpecahan tiga penjuru dalam Umno Bahagian Balik Pulau amat ketara lagi terserlah.

"Pertembungan bagi merebut kerusi Dun Bayan Lepas, Pulau Betong dan juga Teluk Bahang dalam Parlimen Balik Pulau semakin kritikal.

"Kemenangan tipis oleh BN bagi kerusi Bayan Lepas dengan majoriti hanya 458 undi dalam pilihan raya umum yang lalu tidak begitu sukar untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan.

"Apa lagi dengan majoriti tipis sebanyak 395 undi yang dimenangi oleh BN di Pulau Betong dan hanya 801 undi di Teluk Bahang, mampu dirampas kembali dalam pilihan raya umum nanti, " jelasnya.

Tambah Zolkifly lagi, dengan kemenangan majoriti yang hanya 1,539 oleh Dr Hilmi, bukanlah sesuatu yang amat sukar untuk direbut kembali kerusi Balik Pulau setelah terbukti Bersatu dan PH kini semakin mendapat sokongan bercambah.

Tiada ulasan: