Sabtu, 27 Mei 2017

Rakyat Malaysia bakal jadi ketua Daesh

 Dr Mahmud Ahmad
Dr Mahmud Ahmad

KOTA KINABALU - Bekas pensyarah rakyat Malaysia yang kini menjadi anggota militan, Dr Mahmud Ahmad tidak lama lagi bakal menjadi ketua Daesh bagi cabang di selatan Filipina, bandar Marawi.

Memetik laporan Mstar, dia dipercayai bersembunyi di bandar itu di mana tentera mengadakan pertempuran dengan kumpulan Maute, menyaksikan 44 orang termasuk dua rakyat Malaysia terbunuh.

Dr Mahmud dikenali pasti sebagai individu berikutnya yang akan mewujudkan kubu Daesh di Asia Tenggara, yang kini di bawah perintah pemimpin Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon.

Isnilon diisytiharkan sebagai ketua angkatan Daesh di Filipina pada awal tahun lepas tetapi dia dilaporkan cedera parah dalam satu serangan udara di Basilan kira-kira dua bulan lalu.

Menurut sumber, Dr Mahmud mengetuai anggota militan yang lain bagi menyelamatkan Isnilon dalam serangan Marawi.

Tambah sumber, mereka percaya Dr Mahmud juga cuba untuk mengisi kekosongan dalam kepimpinan tersebut sekiranya Isnilon disahkan meninggal dunia.

Mereka menjelaskan bahawa pemimpin Abu Bakr al-Baghdadi begitu terdesak mencari ketua baharu bagi kumpulan di Asia Tenggara yang pernah diketuai Muhammad Wanndy Mohamed Jedi.

Bagaimanapun, Muhammad Wanndy terbunuh dalam serangan dron di Raqqa, Syria.

Menurut sumber, Dr Mahmud yang juga dikenali sebagai Abu Handzalah, kini merupakan satu-satunya leftenan yang dipercayai dikaitkan dengan Baghdadi selain Isnilon di selatan Filipina.

Tiada ulasan: