Jumaat, 5 Mei 2017

Rafizi dedah butiran dana Invoke

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak lama selepas dicabar Datuk Adam Rosly, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli tampil    mendedahkan butiran kewangan dua badan yang diasaskannya, Invoke dan Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).
 
Menurut Rafizi, pendedahan itu bukan untuk melayan karenah Adam, sebaliknya ia dilakukan sebagai satu tanggungjawab untuk membuktikan ketelusannya. 
 
Dalam satu kenyataan, Rafizi melampirkan penyata pendapatan dan perbelanjaan bagi Invoke dan NOW sejak ia ditubuhkan.
 
Bagi Invoke, pendapatan badan itu sejak ditubuhkan hingga 30 April 2017 adalah sebanyak RM2,780,652.
 
Daripada jumlah itu, RM787,049 dikatakan disuntiknya secara peribadi daripada dana berpunca daripada simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera.
 
Dinyatakan, sebahagian besar dana Invoke berpunca daripada majlis kutipan dana, iaitu sebanyak RM857,369. 
 
Sementara bagi NOW pula, ia tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang tahun 2016 dan 2017 kerana tidak menganjurkan sebarang majlis kutipan dana.
 
Terdahulu, Adam yang juga Ketua AMK Ampang menuntut Rafizi bersikap telus dengan mendedahkan butiran kewangan dua badan yang diasaskannya itu. 
 
Adam dalam satu kenyataan berkata, beliau telah lama bersabar dengan Rafizi demi memelihara reputasi dan perpaduan PKR.
 
Ujarnya, kebimbangan terbesar beliau adalah mengenai  kutipan dana secara besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Invoke dan NOW.
 
"Ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan.
 
"Satu perkara aneh apabila Rafizi telah gagal untuk mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka," katanya.
 
Pertelingkahan kedua-dua pemimpin PKR itu tercetus ekoran skandal rasuah membabitkan Adam bersabit kekayaan luar biasanya, di mana Rafizi menggesa pemimpin muda itu mengisytiharkan aset beliau.
 
Rafizi juga tidak lama kemudian menggesa parti agar menjauhkan diri daripada kemelut yang membelenggu pemimpin muda itu.
 
Adam kini mengumumkan bercuti daripada jawatan dalam parti, susulan enam dakwaan rasuah membabitkan beliau.

Tiada ulasan: