Sabtu, 27 Mei 2017

Rafizi cabar Najib ambil tindakan terhadap pelobi AS

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Healy Baumgardner-Nardone berikutan penafian kerajaan menggunakan khidmat pembantu presiden Amerika Syarikat itu untuk melakukan kerja-kerja melobi.

Dalam dokumen dikemukakan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing (Fara), Baumgardner-Nardone telah mengisytiharkan bahawa beliau mewakili 'Pejabat Perdana Menteri dan disenaraikan berurusan secara rasmi dengan 'Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.

Bagaimanapun, pembantu Najib, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam berkata Pejabat Perdana Menteri atau kerajaan Malaysia tidak pernah mengarah, melantik atau memberi kontrak kepada Godfrey Group Ltd, 45 Group atau Healy Baumgardner-Nardone.

Rafizi mencabar Najib menyatakan sama ada 45 Group LLC dan Baumgardner-Nardone selaku pegawai eksekutifnya telah berbohong dalam perisytiharan mereka kepada DOJ.

"Jika Healy Baumgardner-Nardone telah berbohong di dalam pengisytiharan kerja melobi yang difailkan sehingga mengheret nama Datuk Seri Najib, maka Kerajaan Malaysia perlulah dengan serta merta mengambil tindakan undang-undang terhadap Healy Baumgardner-Nardone dan memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat bahawa pengisytiharan yang difailkan adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu, jika kerajaan benar-benar tidak terlibat dalam aktiviti melobi, Rafizi berkata Najib perlu membuat laporan polis terhadap pengarah Godfrey Group Ltd kerana bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia tanpa kebenaran.

Dokumen yang dikemuka di bawah Fara - yang memerlukan pelobi Amerika Syarikat mendaftarkan diri jika mereka bertindak bagi pihak kerajaan asing - boleh didapati orang ramai melalui laman web Fara DOJ.

Tiada ulasan: