Jumaat, 12 Mei 2017

Putus tahaluf siyasi tak jejas kerajaan Selangor

 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail

SHAH ALAM - Keputusan Majlis Syura Ulamak Pas memutuskan tahaluf siyasi bersama PKR tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan Selangor.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat.

"Perkembangan terbaru ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat Selangor.

"Kami mengulangi tekad untuk terus menentang budaya rasuah kerajaan Umno BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis Syura Ulamak Pas semalam memutuskan untuk membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi parti itu dengan PKR.

Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, terdapat banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam yang membawa kepada pembatalan ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sebab Pas batal tahaluf siyasi dengan PKR]

Meskipun tidak lagi berhubungan dengan parti Islam itu, PKR menyatakan akan terus komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

"Kami mengambil maklum keputusan Majlis Syura Ulamak Pas yang membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

"Kami tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

"Untuk mencapai matlamat murni ini semua parti politik progresif mesti bergabung tenaga dan bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengenepikan kepentingan parti masing-masing dan meletakkan agenda rakyat sebagai kerangka kepentingan bersama," ujarnya.


Tiada ulasan: