Khamis, 4 Mei 2017

Putus tahaluf siyasi boleh untungkan PAS, kata Hadi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
MARANG: Tindakan menghentikan tahaluf siyasi dengan PKR boleh menguntungkan PAS kerana ia membolehkan parti Islam itu menunjukkan sikap parti pembangkang yang menasihat dan boleh bekerjasama.
 
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sikap begitu mampu menstabilkan negara bukan sahaja dari aspek politik malahan ekonomi dan sebagainya. 
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR sebagai tindakan yang merugikan atau menguntungkan. 
 
"Soalan itu andaian, andaian ia tak boleh jawab. Andaian ini benda yang kemungkinan. Kemungkinan untung, saya boleh kata untung, sebagaimana mereka kata rugi. Andaian boleh berlaku dan kita mengharapkan boleh menguntungkan.
 
"Terutamanya ialah bila wujud kita menunjukkan sikap 'pembangkang yang menasihat', pembangkang yang boleh bekerjasama.
 
"Ini boleh menimbulkan satu keadaan yang stabil pada negara yang boleh menguntungkan bukan sahaja politik termasuklah aspek ekonomi dan lain," katanya selepas majlis pelancaran R2R di Jeti Marang di sini hari ini.
 
Muktamar PAS ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah berakhir Isnin lepas bersetuju sebulat suara menerima usul memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR, atas alasan parti itu sudah beberapa kali mengkhianati perjanjian kerjasama.
 
Keputusan muktamad diserahkan kepada Majlis Syura Ulama PAS yang dijangka bakal bertemu tidak lama lagi bagi menentukan tahaluf siyasi itu diteruskan atau tidak.
 

Tiada ulasan: