Rabu, 17 Mei 2017

Putrajaya dihentam kerana berdiam diri kes pastor diculik

Oleh Noel Achariam
Putrajaya dihentam kerana berdiam diri kes pastor diculik
Walaupun beberapa siri vigil diadakan masyarakat sivil bagi untuk Pastor Raymond Koh yang diculik pada Februari, kesnya seolah-olah tidak mendapat perhatian sewajarnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
SENYAP dan sunyi. Itulah kesimpulan yang boleh digambarkan mengenai maklum balas daripada Perdana Menteri Najib Razak seorang daripada menterinya dan agensi kerajaan yang digesa berulang kali penganut Kristian di Malaysia dan luar negara bagi sebarang maklumat atau tindakan ke atas penculikan Pastor Raymond Koh.

Setakat ini, Majlis Gereja Sedunia (WCC) belum menerima sebarang jawapan daripada Najib berhubung surat yang ditujukan terus kepadanya, begitu juga respons daripada Joseph Kurup, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Malah banyak vigil diadakan masyarakat sivil untuk pastor yang diculik pada Februari berdepan sikap tidak acuh.

Jika ini merupakan strategi disedari pentadbiran Najib, ia ternyata berbahaya, memandangkan negeri deposit tetap Barisan Nasional (BN), Sarawak dan Sabah, mempunyai populasi Kristian yang besar.

"Ia mengganggu masih tiada berita selepas gesaan berulang-kali daripada pemimpin agama dan kumpulan masyarakat sivil," kata Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia (CCM) Rev Dr Hermen Shastri yang ternyata kecewa.

"Tiada sebarang maklum balas rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri dan juga menteri dalam Kabinet beliau," Hermen berkata kepada The Malaysian Insight.

Pastor Raymond Koh diculik daripada kenderaannya di Petaling Jaya pada 13 Februari oleh 15 lelaki yang menaiki tiga SUV hitam. Penculikan yang berlaku pada siang hari dilihat dirancang teliti.

Pihak gereja dan kumpulan masyarakat sivil mengatakan mereka mendesak Putrajaya untuk mendapatkan jawapan berhubung empat individu yang hilang, tetapi tiada jawapan.

Penculikan Pastor Koh turut mendapat maklum balas daripada komuniti gereja antarabangsa.

Dalam surat terbuka bertarikh 7 Mac, Setiausaha Agung WCC Rev Dr Olav Fykse Tveit, berkata beliau "memandang serius” peristiwa penculikan itu.

"Ia amat dihargai kebebasan beragama yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan majoriti rakyat hidup dengan aman dan damai di negara anda yang mempunyai pelbagai budaya dan agama," kata surat itu.

"Tetapi kejadian mengganggu ini, yang menyebabkan kebimbangan mendalam dan keprihatinan terhadap kehidupan serta kesejahteraan Pastor Koh, turut menyebabkan ketakutan dan ketidakpercayaan di kalangan minoriti agama.

"Oleh itu, saya dengan hormat meminta anda mengarahkan siasatan diperhebatkan terhadap penculikan Pastor Koh bagi menentukan keberadaan beliau, dan memastikan pembebasan dan kepulangan segera kepada keluarganya."

WCC mewakili pakatan global yang disertai 348 gereja dari 110 negara.

Di dalam negara pula, Hermen berkata CCM juga bertemu Joseph Kurup pada Mac menyuarakan kebimbangan mereka mengenai Koh tetapi tiada sebarang maklum balas.

The Malaysian Insight juga cuba menghubungi Kurup tetapi tidak berjawab.

Hermen berkata kejadian itu mendorong pihak gereja dan ahli kariahnya di seluruh negara agar berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap tanda aktiviti mencurigakan atau pencerobohan kawasan gereja.

"Dan sehingga ada beberapa berita, kami akan terus membangkitkan isu ini dengan Kurup," kata Hermen.

Penculikan Koh dan kehilangan tiga aktivis lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth serta Amri Che Mat Amir – turut mendorong kumpulan masyarakat sivil membentuk “Citizen Action Group On Enforced Disappearance” (Caged) bulan lepas.

Tidak mendapatkan sebarang jawapan daripada pihak polis mahupun Putrajaya, jurucakap Caged, 
Thomas Fann berkata mereka menghantar laporan kepada United Nations Working Group on Enforced or Involuntary Disappearances (WGEID) mengenai Koh selepas mendapat persetujuan keluarganya.

"Kami menghantar laporan itu untuk memberi tekanan kepada Putrajaya bagi mendedahkan apa yang berlaku kepada empat individu hilang itu. Kami akan menunggu WGEID untuk bertanya Malaysia mengenai kehilangan mereka itu," katanya.

Fann berkata selain PBB, mereka juga dihubungi pelbagai kumpulan antarabangsa selain dari Amerika Syarikat dan Eropah.

"Kumpulan itu memberitahu kita mereka juga memantau status empat individu yang hilang dengan rapat," katanya.

Mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kehilangan secara paksa atau kehilangan dikuatkuasakan berlaku apabila seseorang itu diam-diam diculik atau dipenjarakan pertubuhan negeri atau politik atau pihak ketiga dengan kebenaran, sokongan, atau persetujuan negeri atau organisasi politik.

Joshua, paderi berketurunan Melayu, dilaporkan hilang pada 30 November 2016 manakala Amir hilang pada malam 24 November tahun lalu selepas dilaporkan memberitahu anak perempuan sulungnya hendak keluar.

 

Tiada ulasan: