Isnin, 22 Mei 2017

PRU14: PKR Tidak Akan Serah Kerusi Pada Rakan Parti

Caspian
 
 
PKR


PKR tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi Parlimen yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas kepada rakan pembangkang pada PRU-14.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan perkara itu diamanahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan kepada mana-mana pimpinan parti itu yang terlibat dalam proses rundingan.

“Anwar berpesan kepada parti, 30 kerusi Parlimen yang PKR sudah menang tidak boleh diserahkan langsung kepada sesiapa.

“Selain itu, kerusi yang PKR hampir menang atau kalah tipis juga tidak boleh diserahkan kepada sesiapa,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional parti itu di sini, hari ini.

Saifuddin turut mencadangkan anggota parti yang terpilih bertanding pada PRU akan datang supaya sanggup mengisytiharkan harta masing-masing.

“Saya kalau terpilih menjadi calon, bersedia mengisytiharkan pendapatan saya. Pencen wakil rakyat, pencen ahli parlimen dan elaun daripada kerajaan Pulau Pinang. Berapa simpanan tunai, berapa kereta saya ada, saya bersedia.

“(Ia) supaya calon-calon yang PKR tawarkan bukan sahaja bersih, tetapi kelihatan bersih. ‘Lebih putih daripada warna putih’. Lebih tinggi moral dan wibawanya, lebih kuat keyakinan dan kepercayaan rakyat untuk beri sokongan kepada kita,” katanya.

Tiada ulasan: