Rabu, 10 Mei 2017

PRU14: Boleh runding tapi kena hormati pendirian PAS

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mengamalkan sikap terbuka terhadap apa jua usaha dalam soal perpaduan, namun mengingatkan parti lain supaya tidak menikam belakang parti itu, tegas Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi.
 
Sallehen berkata, kesediaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Mohamed Ali untuk duduk berbincang dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan hubungan dengan PKR dalam konteks negeri Selangor merupakan satu usaha yang baik.
 
"Sebagaimana juga dulu usaha kita untuk hulurkan tangan cuma kita hendak supaya bila hulurkan, masing-masing boleh menjaga perjanjian kita tetapi jangan mereka ataupun tidak menghormati matlamat yang dibawa (PAS). 
 
"Sebagaimana kita boleh menghormati matlamat parti lain, parti lain juga perlu menghormati  matlamat kita jadi oleh sebab itu kita akan hulurkan tangan kepada sesiapa sahaja.
 
"Saya percaya Presiden pun terbuka dalam sesiapa pun dalam membina perpaduan," katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan pertama selepas bergelar Pesuruhjaya negeri di sini malam tadi.
 
Dalam pada itu, Sallehen tetap menegaskan bahawa PAS akan terus menggalas mandat yang diberikan rakyat sejak PRU lepas dan meletakkan perkara itu sebagai keutamaan.
 
Sambil menyifatkan Amanah sebagai 'gelojoh' untuk menurunkan PAS dalam mendapatkan jawatan Exco Selangor.
 
"Saya rasa boleh jadi kerana Amanah sudah tidak sabar menjadi Exco. Jadi sebab itu dia menggesa supaya PAS tinggalkan.
 
"Kenyataan MB mengulangi komitmen dan keperluan dia supaya PAS bantu untuk memperkukuhkan kerajaan negeri. Sebab itu kita menyatakan kita akan berdiri teguh untuk bantu kerajaan negeri Selangor untuk laksanakan maslahat kepada rakyat," tambahnya.
 
Semalam, Azmin menyatakan kesediaannya berjumpa Ahli Parlimen Marang itu atau mana-mana kepimpinan PAS untuk membincangkan 'masalah' mereka dengan PKR di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang.
 
Umum mengetahui PAS-PKR masih bertahan di Selangor adalah disebabkan mahu mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri yang dimenangi mereka pada PRU13 lalu.
 
Meskipun ada suara-suara yang mendesak untuk PAS berundur selepas usul putus hubungan dengan PKR diluluskan pada sesi Muktamar baru-baru ini.
 
 

Tiada ulasan: