Sabtu, 6 Mei 2017

PRU14: BN Johor letak calon MCA di Gelang Patah

Bernama

MB Johor berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Kit Siang dalam satu ceramah di sini malam tadi bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya pada PRU-14

JOHOR BAHRU : Barisan Nasional (BN) Johor bersetuju meletakkan calon MCA untuk bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah yang disandang oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN negeri merangkap Menteri Besar, Mohamed Khaled Nordin berkata calon itu, bagaimanapun, akan ditentukan oleh pucuk kepimpinan BN pusat.

“BN Johor akan meletakkan calon di semua tempat…tidak akan ada yang terlepas termasuk Gelang Patah yang kita telah bersetuju letakkan calon MCA,” katanya, yang juga Pengerusi Umno Johor, pada sidang media selepas mempengerusikan Badan Perhubungan Umno Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Kit Siang dalam satu ceramah di sini malam tadi bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya pada PRU-14.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Lim Kit Siang),” katanya sebagai merujuk kepada keputusan pemimpin veteran parti pembangkang itu.

Pada PRU-13, pada 2013, Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata jentera pilihan raya parti itu sudah melakukan 75 peratus persiapaan bagi menghadapi PRU-14.

Persiapan ini, katanya, termasuk mengenal pasti perkara-perkara yang akan diperjuangkan untuk rakyat iaitu berhubung keselamatan dan lain-lain, serta mengesan jumlah pengundi sebenar masyarakat Melayu di Johor.

“Bagi pengundi itu, kita telah berjaya mengesan seramai 800,000 orang menerusi proses ‘percubaan’ yang dilaksanakan.

“Tentang sentimen mereka, itu adalah rahsia parti tetapi rata-rata mereka bersama dengan kerajaan negeri dan pusat,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: