Ahad, 7 Mei 2017

PRU-14 : Calon MCA sedia ‘lawan’ Kit Siang di Gelang Patah

Mohd Hilmi Mohd Ali
 


KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia meletakkan calon daripada parti MCA untuk bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah yang disandang oleh pemimpin veteran DAP,  Lim Kit Siang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata calon daripada MCA berkenaan bagaimanapun hanya akan ditentukan oleh pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat kemudian.

“BN Johor akan meletakkan calon di semua tempat, tidak akan ada yang terlepas termasuk Gelang Patah yang kita telah bersetuju letakkan calon MCA,” kata Mohamed Khaled.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Badan Perhubungan UMNO Negeri, di Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled selaku Pengerusi UMNO JOhor berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Kit Siang dalam satu ceramah malam tadi bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya pada PRU-14.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Lim Kit Siang),” katanya.

Pada PRU-13, pada 2013, Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, bagi menghadapi PRU 14, jentera pilihan raya parti itu sudah melakukan 75 peratus persiapaan.

Ia termasuk mengenal pasti perkara-perkara yang akan diperjuangkan untuk rakyat iaitu berhubung keselamatan serta mengesan jumlah pengundi sebenar masyarakat Melayu di Johor.

“Bagi pengundi itu, kita telah berjaya mengesan seramai 800,000 orang menerusi proses ‘percubaan’ yang dilaksanakan.

“Tentang sentimen mereka, itu adalah rahsia parti tetapi rata-rata mereka bersama dengan kerajaan negeri dan pusat,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: