Selasa, 23 Mei 2017

Provokasi berterusan terhadap Melayu punca tragedi 13 Mei

ISMA WEB
 

 
MENJELANG 13 Mei 2017 baru-baru ni, maka genaplah 48 tahun bercetusnya Peristiwa 13 Mei yang rata-rata sejarawan mencatatkannya sebagai tragedi paling hitam dalam sejarah Malaysia. Umum mengetahui apa itu 13 Mei dan umum juga mengetahui bahawa ianya adalah satu isu yang sensitif untuk diperkatakan. Namun begitu, pada kali ini apa yang ingin diketengahkan adalah sebab-sebab asas yang membawa tercetusnya Peristiwa 13 Mei dan perkara yang dapat kita pelajari daripada peristiwa tersebut dalam menghadapai cabaran hari ini.

Abdul Rahman Ibrahim dalam bukunya 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur telah mencatatkan bahawa tahun-tahun 1960-an adalah tahun yang mencabar bagi Malaysia. Beberapa kejadian ketegangan antara kaum terutamanya yang melibatkan Melayu dan Cina telah berlaku. Antaranya adalah yang berlaku di Pulau Pangkor, Perak pada 1959, di Pulau Pinang pada tahun 1964 dan 1967 serta ketika berakhirnya Konfrontasi pada 1968 di mana daripada 12 orang yang dijatuhkan hukuman mati sebagai pengkhianat, 10 daripadanya adalah berbangsa Cina. Tidak lupa juga pembentukan Malaysia pada 1963 yang disusuli dengan terpisahnya Singapura dua tahun selepas itu iaitu pada 1965.

Ketegangan-ketegangan yang berlaku secara asasnya berdasarkan pada isu-isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak-hak keistimewaan Melayu yang dilihat oleh orang bukan Melayu sebagai satu bentuk diskriminasi. Bagi pihak bangsa Melayu sendiri pula, ketidakpuas hati dan kekecewaan muncul apabila pemerintahan negara dilihat gagal membela dan menaikkan taraf hidup orang Melayu walaupun setelah 12 tahun merdeka. Taraf ekonomi dan pendidikan bangsa Melayu masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa Cina terutamanya.

Ketegangan makin memuncak pada tahun 1969 apabila orang bukan Melayu makin berani mempersoalkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga hak-hak keistimewaan Melayu terutamanya oleh ahli-ahli politik di dalam kempen pilihan raya. Kelantangan ini kemudiannya dibalas oleh pemimpin-pemimpin Melayu. Surat-surat khabar dan risalah-risalah digunakan sebagai salah satu medium untuk menyemarakkan lagi isu-isu tersebut.

Bagi orang Melayu, kelantangan bukan Melayu dalam mengkritik isu bahasa dan hak keistimewaan Melayu dilihat sebagai satu perbuatan pengkhianatan terhadap ‘Kontrak Sosial’ yang telah dipersetujui bersama berdasarkan perbincangan pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang telah membentuk Parti Perikatan. Perkara ini menyebabkan orang Melayu mula meragui kesetiaan orang bukan Melayu terhadap negara. Hal ini kerana ‘Kontrak Sosial’ telah dipersetujui atas dasar imbal balik antara kaum; orang bukan Melayu diberikan kerakyatan (baca: kuasa politik) dan sebagai balasannya, beberapa perkara berkaitan dengan kepentingan orang Melayu dipelihara. Nik Safiah Karim mendefinisikan ‘Kontrak Sosial’ sebagai “Kesepakatan yang diabadikan oleh sejarah mengenai norma hidup bersama pelbagai kaum dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Persepakatan itu dicapai secara sukarela melalui perundingan dan dianggap binding untuk generasi seterusnya”.

Secara asasnya, ‘Kontrak Sosial’ merangkumi lima perkara:
  1. Mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja berdaulat dalam negara demokrasi berparlimen.
  2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini
  3. Memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu berdasarkan jus soli.
  4. Islam sebagai agama persekutuan tetapi memberi kebebasan kepada penganut agama lain menjalankan upacara keagamaan dan kebudayaan masing-masing.
  5. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bangsa lain diberikan kebebasan peribadi untuk menggunakan bahasa kaum masing-masing.
Memang diakui perkataan ‘kontrak sosial’ secara literal tidak wujud di dalam Perlembagaan. Namun begitu, hal-hal yang telah dipersetujui di atas telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Perkara 1 termaktub dalam Artikel 32 hingga 38 Perlembagaan Malaysia. Perkara 2 termaktub dalam Artikel 153, perkara 3 termaktub antaranya dalam Artikel 14 dan 19, perkara 4 ternyata di dalam Artikel 3 dan 11, dan akhir sekali perkara 5 dinyatakan di dalam Artikel 152.

Peristiwa 13 Mei bukanlah berlaku secara tiba-tiba (spontaneously) hanya kerana keputusan pilihan raya seperti yang didakwa oleh Kua Kia Soong dalam bukunya May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 (ironinya, beliau mendakwa dakwaan itu adalah apa yang dikatakan dalam versi rasmi. Namun jika dilihat dalam laporan dan buku yang ada mengenai 13 Mei, kebanyakannya mengetengahkan 13 Mei sebagai kemuncak kepada ketegangan kaum yang telah berlaku sepanjang dekad 1960-an).

Jika dilihat pada kronologi di bawah, 13 Mei adalah kemuncak kepada ketegangan kaum yang berlaku. Apabila rasa saling menghormati hilang, apabila kesepakatan di dalam ‘Kontrak Sosial’ mula dicabar, maka ketegangan yang pada mulanya berlaku secara kecil-kecilan akhirnya membarah membawa kepada tragedi yang besar. Inilah pengajaran yang patut kita ambil dan jadikan iktibar. Sebagai satu negara yang berbilang kaum, agama dan budaya, maka rasa saling menghormati itu penting dan kesepakatan yang telah dicapai dalam ‘Kontrak Sosial’ perlulah dihormati dan dipelihara bagi menjamin keharmonian. Jangan sesekali cuba untuk melakukan sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak. Jika terdapat sebarang kelompongan dan ketidakpuasan hati, maka seharusnyalah perkara tersebut diselesaikan dengan secara rundingan.

Kronologi Ringkas Peristiwa 13 Mei 1969

24 April 1969             – Petugas UMNO Pulau Pinang, Encik Kasim Omar telah diserang dan dibunuh. Namun begitu, untuk mengelakkan sebarang ketegangan atau rusuhan, beliau telah dikebumikan secara tertutup.

4 Mei 1969                 – Seorang Cina, Lim Soon Seng, telah meninggal setelah cedera dalam satu pergelutan dengan pihak polis. Beliau dan dua rakannya ditemui sedang menconteng sesuatu di atas jalan raya dengan cat.

9 Mei 1969                 – Pihak keluarga mendiang dengan dibantu pihak tertentu berkeras untuk membuat perarakan mayat beliau (seperti mana kebiasaan dalam masyarakat Cina) dengan melalui jalan-jalan utama di bandar Kuala Lumpur. Mereka ingkar dengan arahan pihak polis untuk berarak di jalan-jalan yang agak jauh daripada bandar. Tindakan ini dilihat sebagai sengaja ingin membesar-besarkan kematian beliau (berbeza dengan cara pengkebumian mayat Encik Kasim Omar yang dilakukan secara tertutup).

10 Mei 1969               – Hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum 1969.

11 Mei 1969               – Keputusan piliharan raya diumumkan. DAP dan Gerakan menang besar di Selangor, walaupun masih belum dapat membentuk kerajaan. Kemenangan ini diraikan dengan perarakan yang disertai provokasi menghina orang Melayu. Tindakan yang sama juga berlaku ketika perarakan mayat pada 9 Mei.

12 Mei 1969               – Perarakan kemenangan yang disertai provokasi terhadap Melayu masih diteruskan. Namun, kesabaran orang Melayu selama ini (daripada 9 Mei membawa kepada 12 Mei) telah sampai hadnya yang membawa kepada berkumpulnya mereka di rumah Menteri Besar Selangor di Kampung Baru untuk merancang mengadakan perarakan balas pada malam esoknya, iaitu 13 Mei. Perarakan balas ini dirancang untuk diadakan secara aman untuk meraikan kemenangan UMNO di dalam pilihan raya seluruh negara.

13 Mei 1969               – Ketika persiapan sedang dilakukan oleh orang Melayu di Kampung Baru (dengan anggota polis kebanyakannya telah dikerahkan untuk mengawal keadaan), tersebar khabar angin bahawa telah berlaku pergaduhan antara orang Melayu dan Cina di Setapak; satu kawasan yang tidak dijangka akan berlakunya ketegangan. Khabar angin dan ketidaktentuan inilah akhirnya membawa kepada tercetusnya rusuhan besar pada 13 Mei.

14 Mei 1969               – Darurat disiytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
16 Mei 1969               – Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak ditubuhkan bagi menggantikan Parlimen yang digantung buat sementara waktu setelah darurat diisytiharkan.

*Ironinya, Kua Kia Soong telah ‘memadam’ apa yang berlaku antara 9 hingga 12 Mei di dalam bukunya. Episod di mana orang Melayu diprovokasi selama 3 hari dan hanya dihadapi dengan penuh kesabaran telah ‘dipadam’ oleh beliau. Beliau hanya memulakan episod beliau dengan perkumpulan orang Cina dan Melayu selepas pilihan raya. Penceritaan buku beliau juga dilihat berat sebelah kerana hanya menunjukkan bahawa orang Cina menjadi mangsa dan mereka diserang tanpa apa-apa alasan yang kukuh oleh orang Melayu.

Rujukan:
Abd. Manaf Haji Ahmad, 2009. Kontrak Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rahman Ibrahim, 2015. 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Legal Research Board, 2009. Federal Constitution (As at 20th June 2009). Petaling Jaya: International Law Book Services.
Kua Kia Soong, 2011. May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969: New Edition. Petaling Jaya: SUARAM.
Leon Comber, 2011. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
Mohd Rizal Yaakop & Shamrahayu A. Aziz, 2014. Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957: Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka. Kuala Lumpur: ITBM.

* Mohamad Hazizie Sulkafle,AJK Biro Antarabangsa dan Tamadun, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Tiada ulasan: