Rabu, 3 Mei 2017

PKR nafi kemungkinan berlaku PRN di Selangor

Shawaliah Hadir

Elizabeth Wong turut berkata PKR bersedia dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh PAS menerusi Majlis Syura dalam masa terdekat mengenai hubungan kerjasama kedua-dua parti itu

PETALING JAYA: Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong hari ini menafikan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) jika penceraian PAS dengan PKR menjadi kenyataan.

Menurut Adun Bukit Lanjan itu, tidak ada kemungkinan akan berlakunya pilihan raya negeri. Selangor adalah negeri yang sentiasa kukuh.

“Tiada akan ada PRN, tidak perlu risau tentangnya sepatutnya kita bimbangkan bila pilihan raya umum,” katanya.

“Sekarang ini kita tunggu keputusan Majlis Syura, itu prosesnya tidak ada kemungkinan akan berlakunya pilihan raya negeri. Selangor adalah negeri yang sentiasa kukuh,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat PKR hari ini.

Dalam pada itu, Elizabeth Wong turut berkata PKR bersedia dengan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh PAS menerusi Majlis Syura dalam masa terdekat mengenai hubungan kerjasama kedua-dua parti itu.

Pemegang portfolio Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata semua pemimpin yang terlibat dalam pentadbiran negeri itu menjalankan tugas sehingga berlakunya perubahan berdasarkan keputusan PAS kelak.

“Kami (PKR) bersedia untuk sebarang senario yang berkemungkinan akan berlaku.”

Muktamar PAS yang berakhir Isnin lalu meluluskan usul memutuskan hubungan dengan PKR dan ia akan diputuskan oleh Majlis Syura yang akan bermesyuarat dua minggu lagi.

Ianya bertitik tolak kepada usul yang sama dibuat oleh Dewan Ulama dan Dewan Pemuda parti itu.

Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudiannya berpendirian untuk menunggu keputusan akhir yang dibuat parti tersebut.

Namun sebelum itu Setiausahanya Saifuddin Nasution berkata tiga exco PAS dalam Selangor perlu meletakkan jawatan jika mahu ‘bercerai’ dengan PKR.

Tiga exco dari PAS ialah Iskandar Abdul Samad, Zaidy Abdul Talib dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Tiada ulasan: