Khamis, 18 Mei 2017

Pimpinan Pakatan Harapan desak SPR tunai 9 tuntutan Bersih 2.0

 MOHD ALI HASHIM




Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Kedah telah menyerahkan sembilan tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendesak supaya melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya yang lebih adil dan bersih sepertimana yang dituntut Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0.

Tuntutan tersebut telah diserahkan oleh pimpinan Pakatan Harapan Kedah kepada Timbalan Pengarah (Operasi)SPR Kedah, Ahmad Sukri Megat di Wisma Persekutuan semalam.

Menurut Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, memorandum yang mempunyai 94 halaman tersebut menuntut beberapa penambaikan dilaksanakan sepenuhnya sebelum pembubaran Parlimen berakhir pada Jun 2018.

Jelasnya lagi, antara tuntutan yang dibuat adalah sepertimana mandat Bersih 2.0 yang menuntut supaya pelantikan dan penstrukturan semula SPR yang lebih bebas dan adil bagi mencegah rasuah dan korup serta politik wang.

"Selain itu kita juga menuntut supaya dilaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik dan menjalankan audit yang lengkap bagi daftar pemilih.

"Kita juga mendesak agar misi pemerhatian pilihan raya tempatan dan antarabangsa dibenarkan untuk beroperasi secara bebas sepanjang tempoh pilihan raya diadakan.

"Memorandum tersebut juga mahukan supaya tuntutan Bersih 2.0 supaya diwujudkan sempadan pilihan raya yang lebih adil bagi menggantikan proposal SPR yang dilihat bercanggah dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan, " ujarnya lagi.

Malah katanya, tempoh masa berkempen bagi parti-parti politik selama 21 hari juga menjadi tuntutan yang seharusnya diberi pertimbangan oleh SPR.

"Terdapat hampir 4 juta rakyat dalam negara ini yang belum lagi mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.
"Sebaliknya parti pembangkang akan berhadapan dengan pelbagai kerenah dan birokrasi kerajaan seperti penggunaan politik wang dan seumpamanya.

"Persempadanan semula yang baru sekiranya diluluskan akan turut memberi kesan, " katanya lagi.

Oleh kerana itu tambahnya, semua rakyat yang belum mendaftar perlu mengambil peluang bagi membuat perubahan dalam negara sekiranya inginkan PH menjadi sebuah kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan BN yang terbukti korup dan lemah dalam menerajui negara.

Hadir sama dalam menyerahkan memorandum Bersih 2.0 tersebut ialah Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew, Setiausaha PKR Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad dan Mejar (B) Anuar Abdul Hamid dari Parti Pribumi Bersatu Negeri Kedah.

Tiada ulasan: