Rabu, 10 Mei 2017

PH sudah ada calon Perdana Menteri, kata Azmin Ali

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
KOTA DAMANSARA: Datuk Seri Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah mengenalpasti calon perdana menteri sebagai persediaan gabungan itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Namun identiti calon itu terpaksa dirahsiakan daripada pengetahuan umum buat masa sekarang.
 
"Kami memang ada (calon untuk perdana menteri) dan kami akan umumkan pada masa yang sesuai," katanya kepada media selepas menghadiri Karnival Peduli Rakyat di Kota Damansara hari ini.
 
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin diramal banyak pihak akan dicalonkan untuk jawatan itu sementara Azmin sebagai timbalannya.
 
"Saya pula hanya seorang pemimpin kecil untuk Selangor," kata Azmin ketika diminta mengulas ramalan itu.
 
Sementara itu mengulas mengenai politik Selangor, Azmin berkata, apa yang belaku adalah sandiwara kononnya akan ada perubahan kerajaan di negeri berkenaan.
 
Ia ekoran ketetapan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR melalui muktamar parti itu akhir bulan lalu.
 
Kata Azmin, ramai orang cemburu dan dengki kepada Selangor. Justeru, katanya beliau menjadi sasaran serangan dalam siaran berita televisyen pada waktu perdana setiap malam.
 
Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai supaya tidak gelabah kerana situasi politik di Selangor adalah stabil dan kekal utuh.
 
Pada masa sama, Azmin berkata, keberkesanan kerajaan negeri menyebabkan ramai orang yang berhasrat mahu berpindah dan bekerja dengan kerajaan Selangor.
 
"Kalau seorang dua, bolehlah tapi sekarang ramai sangat nak pindah (bekerja) di Selangor.
 
"Jadi, saya jawab, jangan pindah ke Selangor, biar kita pindah ke Putrajaya. Selesai semua masalah," katanya.
 
 

Tiada ulasan: