Oleh Athirah Hanapiah
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) masih menunggu keputusan PAS untuk
bekerjasama dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
Menurut Ketua Setiausaha Sektretariatnya, Datuk Saifuddin Abdullah, PH
tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung kerjasama PAS dengan PKR
sehingga ia dimuktamadkan Majlis Syura Ulama parti itu.
"PH bukan sebuah parti yang teruk, jadi kita masih kena menunggu PAS
sebab PAS masih belum memuktamadkan apakah keputusan mereka," katanya
dalam sidang media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) di sini hari
ini.
Malah Saifuddin menambah, PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dan berbincang dengan mana-mana parti pembangkang lain.
“Kami sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti pembangkang lain termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.
Sebelum ini, Muktamar PAS Pusat menerima usul memutuskan tahaluf siyasi
dengan PKR selepas parti itu dilihat mengkhianati perjanjian kerjasama
antara dua parti berkenaan.
Walau bagaimanapun, usul itu masih belum dimuktamadkan dan masih
menunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang dijangka bakal
bermesyuarat dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, PH turut mengumumkan
menerima 317 penyertaan cadangan rekaan logo mereka daripada orang
ramai.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, cadangan itu akan diteliti sebelum satu keputusan diumumkan kemudian.
“Jadi bagi kami ini adalah satu perkara yang cukup memberangsangkan dan
merupakan satu sokongan moral terhadap PH yang dinyatakan secara terang
oleh orang ramai.
“Selepas ini proses deliberasi (perbincangan) dalaman akan berlaku dan
dalam masa beberapa hari kami akan membuat pengumuman tentang proses
berikutnya," katanya.
Sebelum ini, PH telah menyenarai pendek tiga rekaan, namun ia
mengundang kritikan netizen yang menyifatkan ketiga-tiganya 'buruk' dan
tidak profesional.
Ekoran daripada kecaman tersebut, PH telah mempelawa orang ramai untuk
menyumbang idea mereka logo bagi parti itu dengan menggariskan empat
panduan rekaan.
Logo itu bakal dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagai persediaan untuk menghadapi PRU14.
Sebelum ini, parti-parti dalam gabungan pembangkang menggunakan logo parti masing-masing semasa menyertai pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan