Rabu, 10 Mei 2017

Persamaan Perlembagaan PAN Dengan DAP – Dr Kamarul





Ramai sedia maklum bahawa pindaan perlembagaan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia yang diputuskan oleh Kongres Luar Biasanya pada 25 Ogos dan 8 September 2015 telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 1 Oktober 2015.


Pindaan perlembagaan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia ini di antara lainnya menukar nama Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia kepada Parti Amanah Negara di samping menukar peruntukan lain bagi disesuaikan dengan kehendak para pemimpin barunya.

Malangnya, walaupun setelah lebih setahun setengah Parti Amanah Negara beroperasi, ramai yang tertanya-tanya mengapa Parti Amanah Negara masih gagal mendedahkan kandungan perlembagaannya untuk pengetahuan seluruh rakyat Malaysia seperti dibuat parti lain.

Saya sendiri telah lama berkesempatan untuk melihat butiran pindaan perlembagaan Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia yang diputuskan oleh Kongres Luar Biasanya dan yang telah diluluskan oleh ROS sekali gus menjadi asas pembentukan Parti Amanah Negara.

Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya setelah meneliti butiran Perlembagaan Parti Amanah Negara ini adalah betapa dekatnya ia dengan Perlembagaan DAP dan betapa jauhnya ia dengan Perlembagaan PAS sehubungan dengan cara pemilihan pemimpinnya.

Mengikut Perlembagaan PAS, pemegang jawatan tertinggi di dalam PAS, iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden PAS, selain 18 Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, hendaklah dipilih oleh Muktamar Tahunan PAS pada setiap dua tahun sekali.

Mengikut Perlembagaan DAP pula, pemegang jawatan tertinggi di dalam DAP, termasuklah Pengerusi, Timbalan Pengerusi, lima Naib Pengerusi, Setiausaha Agung dan Bendahari DAP, hendaklah dilantik oleh 20 Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dari kalangan 20 mereka setelah mereka dipilih oleh Kongres Kebangsaan DAP pada setiap tiga tahun sekali.

Meneliti Perlembagaan Parti Amanah Negara, ternyata pemegang jawatan tertinggi Parti Amanah Negara dipilih mengikut kaedah yang digunakan oleh DAP kerana Perlembagaan Parti Amanah Negara memperuntukkan bahawa Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presidennya hendaklah dilantik oleh 25 Ahli Jawatankuasa Tertingginya dari kalangan 25 mereka setelah mereka dipilih oleh Kongres Kebangsaannya pada setiap tiga tahun sekali.

Apakah persamaan kaedah pemilihan pemimpin tertinggi Parti Amanah Negara dengan kaedah pemilihan pemimpin tertinggi DAP ini adalah satu kebetulan atau dirancang?

* Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah, Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia.

Tiada ulasan: