Sabtu, 6 Mei 2017

Perokok tak patut terima zakat, kata Asri

 Berita Daily Staff

Ini kerana menurut Asri, golongan perokok merupakan orang kaya kerana mereka membazirkan wang dengan sia-sia

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, golongan perokok tidak sepatut mengambil dan menerima zakat mahupun derma.

Ini kerana menurut Asri, golongan perokok merupakan orang kaya kerana mereka membazirkan wang dengan sia-sia.

“Dia (perokok) membazirkan wang untuk sesuatu yang bukan sahaja sia-sia, bahkan merosakkan diri sendiri dan orang di sekitarnya,” katanya yang dipetik menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata hanya orang yang berlebihan wang sehingga tidak tahu mahu lakukan apa lagi sahaja yang boleh lakukan hal itu (merokok).

“Apatah lagi rokok sekarang harganya mahal.

“Maka perokok bukan seorang miskin sehingga dia perlu meminta bantuan zakat ataupun bantuan kewangan yang lain,” katanya.

Beliau sehubungan itu turut mempersoalkan apakah kewajaran diberikan bantuan zakat ataupun selainnya kepada orang yang membazirkan wang dengan membakar dan merosakkan diri serta orang lain.
“Dia tidak termasuk dalam asnaf fakir ataupun miskin sebenarnya.

“Jika ada yang bertanya saya, wajarkah beliau berikan zakat ataupun derma kepada orang yang mengaku miskin tapi merokok? Saya pasti menjawab tidak!. Carilah orang yang benar-benar miskin,” katanya.

Terdahulu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia:
Muzakarah kali ke-37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

Tiada ulasan: