Ahad, 14 Mei 2017

Permohonan KADS1M rumit, pelajar merungut dapat lambat

THE MALAYSIAN INSIGHT
Permohonan KADS1M rumit, pelajar merungut dapat lambat
Kelewatan pengeluaran KADS1M menyebabkan pelajar tidak dapat menggunakannya sewaktu pesta buku. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 
 
PELAJAR universiti tempatan rata-rata kesal kerana masih tidak dapat memiliki Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) meskipun sudah mendaftarnya sejak Februari lalu.

Malah, kelambatan Bank Rakyat yang bertanggungjawab mengendalikannya menyebabkan mahasiswa tempatan tidak dapat berbelanja di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur PBAKL yang berakhir 7 Mei lalu.

Mengganggap prosedur permohonan atas talian yang rumit, Amirah Kamal Azizi, pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) tidak dapat menggunakan subsidi kerajaan itu kerana masih tidak menerima KADS1M.

“Jadi kita terpaksa membataskan beli buku kita hendak. Kalau ada baucar buku kita boleh beli lebih daripada yang senarai,” katanya.

“Kalau dulu saya beli buku RM250 malah tambah duit sendiri RM100. Tapi kali ini hanya belanjakan RM50 sahaja,” katanya ketika ditemui di PBAKL minggu lalu.

Amirah, 23, turut menggesa baucar buku dikembalikan agar bantuan kerajaan itu sampai terus kepada semua pelajar.

“Cadangan saya kita kembali kepada sistem yang lama. Dulu walaupun berbaris panjang dekat luar, tetapi semua orang dapat.

“Tapi kalau yang ini kena tunggu giliran tapi pesta buku dah habis dah. Tak semua orang dapat dan seolah macam duit itu kena beli harga asal,” katanya lagi.

Turut terkesan ialah Khairul Anuar, 22, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggesa Bank Rakyat mempercepatkan pemberian KADS1M tersebut.

“Kalau ambil kira sudut kad kita akan terhalang membeli buku sebab tidak kena dengan masa. Kita tahu pesta buku selalunya diadakan pada April ke Mei.

“Kerajaan kena pastikan pembahagian lebih kena pada waktu. Kalau macam sebelum ini awal Februari sudah dapat.

Menurut Muhamad Shabil Muhafiz Harun, 24,  tempoh pendaftaran kad diskaun pelajar itu dibuat dalam masa yang singkat.

“Saya sudah daftar tapi lambat. Sehingga kini masih belum dapat tahu status. Mujur saya ada pendapatan lain untuk membeli buku di PBAKL.

“Jadi tidak terkesan sangat, cuma kalau guna baucar, duit kita sendiri boleh jimat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pesta buku ialah tempat tumpuan pelajar berbelanja, kelambatan KADS1M menyukarkan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2017.
Pesta buku ialah tempat tumpuan pelajar berbelanja, kelambatan KADS1M menyukarkan 
mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari,
Difahamkan, Bank Rakyat memulakan pendaftaran KADS1M pada 16 Februari lalu dan tamat pada 31 Mac.

Status permohonan mula diberikan melalui email kepada pemohon bermula 30 Mac secara berperingkat dan dijangka menyelesaikan pendaftaran pada September ini.

Namun, maklumat daripada talian pengguna Bank Rakyat, permohonan telah dibuka semula memandangkan ramai pelajar tidak berkesempatan berbuat sedemikian.

“Tiada tempoh tamat pendaftaran lagi ditetapkan setakat ini. Kalau sudah mohon, puan boleh semak penerimaan permohonan selepas tiga hari bekerja.

“Untuk kelulusan, kami akan merujuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan dijangka prosesnya tamat pada September ini,” kata operator Bank Rakyat yang memperkenalkan diri sebagai Dila ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sementara itu, Muhammad Najwa Mohd Saris, 24, pula kesal kerana tidak dapat menggunakan sepenuh wang subsidi itu.

“Saya dah dapat tiga minggu lalu. Memang ada RM250 di dalamnya dan saya hanya boleh keluarkan RM240 kerana paling kurang kena tinggalkan RM10.

“Tarikh luput kad digunakan sampai 2020 tapi nampaknya apabila habis digunakan, kad itu tidak berfungsi lagi.

Namun, beliau gembira kerana memiliki tunai dan memanfaatkan wang tersebut.

“Bila dapat tunai, pelajar boleh guna duit tersebut selain daripada buku. Cuma kekurangan KADS1M ini, ada pelajar yang tidak dapat,” katanya lagi.

The Malaysian Insight dalam usaha menghubungi pengurusan Bank Rakyat untuk mengetahui jumlah peratusan pelajar yang sudah menerima KADS1M.

Bank Rakyat juga diminta menjelaskan proses pendaftaran subsidi yang lambat sehingga memberi kesan kepada 1.3 juta pelajar universiti.

Tiada ulasan: