Isnin, 22 Mei 2017

Perkasa saman Vell Paari

 Berita Daily Staff

Perkasa juga berikrar akan terus berkempen kepada semua ahli dan umat Islam menolak calun MIC pada PRU14 setelah bermula di Segamat Jumaat lepas

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akhirnya menerima cabaran Bendahari Agung MIC, S Vell Paari, selepas mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali memaklumkan bahawa Perkasa melalui Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co telah pun mengirim surat kepadanya bertarikh 17hb Mei 2017 beralamat Ibu Pejabat MIC.

“Kami menuntut beliau memberi penjelasan berkaitan kenyataan media beliau yang disiarkan oleh media dan juga kenyataan media penuh beliau yang tersebar melalui media sosial pada 12 Mei 2017,” katanya.

“Tetapi sehingga semalam masih lagi tiada apa-apa jawapan dari beliau,” tambah Syed Hassan lagi.
Katanya, Perkasa tidak perlu mengulas lebih lanjut kerana kami sudah serahkan isu ini kepada pihak peguam kami.

“Apa pun kami akan terus menunggu jawapan bertulis daripadanya. Kegagalan beliau menjawab dan membisu mengesahkan tuduhan beliau dan peguam kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan memfailkan kes saman fitnah (defamation) dalam masa terdekat.”

“Ini kerana kenyataan beliau pada 12 Mei, tersebut menuduh Perkasa bekerjasama dengan Dr Zakir Naik cuba untuk berdakwah ideologi dan merekrut ahli untuk ISIS. Ini adalah tuduhan yang amat berat kepada Perkasa yang mempunyai keahlian hampir 700 ribu orang dengan 95% adalah orang Melayu Islam. Jika beliau tidak nafikan segera selagi itulah kami akan berkempen tolak calon MIC,” tegasnya lagi.

“Hak kami untuk tolak pihak yang berniat jahat terhadap Perkasa. Hak kami juga untuk menolak mana-mana pihak memfitnah atau pihak yang penyokong pihak yang memfitnah pendakwah ulung umat Islam Dr Zakir dengan tuduhan liar,” ujar beliau.

“Mana-mana pihak yang memfitnah atau menyokong pihak-pihak yang memfitnah Zakir adalah bukan sahabat kepada Perkasa,”  tegas beliau sambil menambah Perkasa percaya tuduhan Dr Zakir terlibat dengan pengganas ISIS dan pembersihan wang haram adalah berniat jahat dan menghina seorang pendakwah Islam terulung dunia.

“Jika Vell Paari belum lagi terima surat dari peguam kami, beliau boleh tetapkan tarikh dan tunggu Wira Perkasa kami datang menyerahkan sendiri kepadanya pada bila-bila masa.”

Tiada ulasan: