Ahad, 14 Mei 2017

Perjuangan KEADILAN menentang kerajaan kleptokrat – Wan Azizah

Fahmi Fadzil

wawi

KEADILAN merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas wawancara bermakna beliau dalam rancangan UpFront bersama pengacara Mehdi Hasan di saluran Al Jazeera.

Kepemimpinan beliau jelas terutama dalam mewakili gerakan Reformasi di peringkat antarabangsa, menyerang kerajaan BN yang korup dan zalim, dan mengetengahkan pemenjaraan politik Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden KEADILAN tegas dan jujur dalam menjelaskan kepada para penonton Aljazeera di negara-negara Islam malah juga seluruh dunia mengenai perjuangan KEADILAN dan Pembangkang menentang dan mengalahkan kerajaan kleptokrat di negara ini.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan para penonton program bahawa kami berdepan degan keseluruhan jentera dan usaha Umno BN termasuk manipulasi proses pilihan raya yang tidak mengikut perlembagaan, penguasaan media yang hampir total, dan penyelewengan wang ringgit rakyat serta aktiviti rasuah.

Datuk Seri Dr Wan Azizah dengan tegas mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia, pada masa yang sama hak penganut agama serta kaum lain tidak boleh dikompromi seperti yang diancam Umno-BN dan sekutu mereka.

Presiden KEADILAN jelas menyatakan bahawa kesepakatan Pembangkang adalah berpaksikan prinsip dan bukannya kesempatan, dan beliau menegaskan kepimpinan berterusan Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun Datuk Seri Dr Wan Azizah dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima cabaran untuk diwawancara Mehdi Hasan di Aljazeera, hingga ke hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malah juga menteri-menteri kabinet tidak berani untuk menerima jemputan hadir ke program tersebut.

Video temubual tersebut boleh disaksikan di: http://www.aljazeera.com/programmes/upfront/2017/05/malaysia-opposition-win-170512090851405.html

*  Fahmi Fadzil,Pengarah Komunikasi KEADILAN

Tiada ulasan: