Jumaat, 5 Mei 2017

Perang saudara PKR semakin parah?

Berita Daily Staff

Selepas Latheefa Koya mendakwa Rafizi sebagai memalukan parti, Adam Rosly tampil cabar Rafizi mendedahkan butiran dana Invoke dan NOW

KUALA LUMPUR: Nampaknya ‘perang saudara’ PKR menjadi semakin parah apabila seorang pemimpin muda PKR, mencabar Naib Presiden parti itu Rafizi Ramli supaya mendedahkan butiran dana yang dikumpul daripada orang awam melalui NGO Invoke dan The National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) yang diketuai Ahli Parlimen Pandan itu.

Cabaran tersebut dibuat oleh Adam Rosly yang merupakan Ketua Pemuda PKR Ampang, yang kini mengumumkan bercuti daripada jawatan tersebut selepas dia didakwa di mahkamah baru-baru ini atas tuduhan memberikan maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini adalah kali kedua Rafizi dicabar oleh ahli partinya sendiri dalam masa dua hari selepas Latheefa Koya yang juga ahli Majlis Pimpinan Parti (MPP) PKR yang mendakwa Rafizi memalukan partinya.

Adam, dalam satu kenyataan hari ini menggesa agar Rafizi mendedahkan dana butiran dana yang diperolehi Invoke dan NOW dalam masa 48 jam bermula hari ini.

Adam turut meminta Rafizi memberi penjelasan mengenai jumlah wang yang telah dikumpulkan daripada orang ramai oleh NGO berkenaan.

“Nyatakan bagaimana wang telah dibayar setakat ini. Juga nama semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke,” katanya.

“Demi kepentingan parti dan orang ramai, saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya dan ramai pemimpin parti dan aktivis telah lama bersabar dengan beliau bagi memelihara perpaduan dan reputasi PKR. Walau bagaimanapun, kepentingan awam perlu diberi keutamaan,” tambah Adam.

“Sekiranya Rafizi Ramli gagal mematuhi tuntutan ini, saya akan mengambil tindakan sewajarnya kerana kita perlu memelihara keyakinan orang ramai terhadap PKR dan Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Latheefa dan Rafizi semalam saling cabar mencabar antara satu sama lain berkenaan isu logo Pakatan Harapan.

Latheefa kemudian menulis status yang ‘mengherdik’ logo berkenaan sambil mendakwa Rafizi memalukan parti kerana ia logo yang memalukan sambil mendakwa Rafizi mengutip banyak wang orang awam untuk tujuan itu sebelum itu.

Pergaduhan secara terbuka itu berlarutan dalam kumpulan WhatsApp MPP apabila Rafizi menyatakan rasa tidak puas hatinya dan menyuruh Latheefa supaya cermin diri sebelum memberi sebarang kritikan.

Tiada ulasan: