Ahad, 28 Mei 2017

Penumpang keguguran selepas dirompak pemandu mahu saman Uber

 
Wong Mei Yan berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Uber akibat tekanan emosi dan kerugian yang ditanggungnya.


uber-pregnant

PETALING JAYA: Seorang penumpang yang baru hamil sebulan mengalami keguguran, selepas disamun pemandu Uber bersama seorang lagi penumpang lelaki pada 21 Mei lalu.

The Star memetik Wong Mei Yan, 26, pada sidang media hari ini berkata, beliau mengalami keguguran kira-kira seminggu selepas kejadian itu dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Uber akibat tekanan emosi dan kerugian yang ditanggungnya.

Sementara itu, Uber dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka sedih dan kesal dengan apa yang dilalui Wong serta akan terus berhubung dan membantunya.

Syarikat itu berkata, mereka mula bekerjasama dengan polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu beberapa jam kemudian.

Bagaimanapun, polis mengarahkan mereka tidak membuat sebarang kenyataan atau menghubungi mana-mana pihak terbabit, memandangkan siasatan masih dijalankan.

“Kami memudahkan jutaan perjalanan di Malaysia setiap minggu dan hanya satu kejadian seperti ini cukup dianggap melampau.

“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai yang Uber mengambil kira keselamatan (penumpang) secara serius.

“Harap maklum kami akan terus berusaha menambah baik (perkhidmatan kami) supaya penumpang boleh sampai ke destinasi dengan selamat, pada harga berpatutan dan boleh dipercayai setiap masa.”

Ahad lalu, Wong yang dilaporkan menempah perkhidmatan Uber dari sebuah pusat beli-belah di Bangsar untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya, disamun pemandu dan seorang lagi lelaki yang berada di tempat duduk penumpang, selepas menaiki kereta jenis Proton Saga.

Wong hari ini mendakwa beliau tidak perasan ada seorang penumpang berada di tempat duduk hadapan atau pemandu Uber itu mempunyai “ranking” rendah, sebelum kejadian itu berlaku.

Katanya, beliau hanya ternampak “lelaki kecil kurus” itu apabila pemandu berkenaan mula bercakap dengannya.

Jurujual kosmetik itu berkata, beliau hanya bercakap dengan pemandu itu apabila dia melalui jalan salah, walaupun arahan sudah diberikan kepadanya.

Katanya, lelaki yang duduk di sebelah pemandu itu kemudiannya mengacukan pisau ke arahnya dan mengarahkan beliau menyerahkan barangan peribadi setibanya di pusat perniagaan One Puchong.

Polis menahan pemandu berusia 22 tahun itu di kawasan Rehat dan Rawat Pagoh, Muar, pada 11 malam Khamis lalu, selain merampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM berwarna hitam.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang beralamat di Kulim, Kedah itu memiliki 2 rekod jenayah lampau dan akan direman seminggu sehingga 31 Mei ini.

Tiada ulasan: