Isnin, 8 Mei 2017

Pengemis kaya kerana rakyat Malaysia pemurah

 
JKM berkata pada musim perayaan, pengemis mampu meraih pendapatan sehingga ribuan ringgit disebabkan sikap pemurah rakyat negara ini 


pengemis_jkm_600

KOTA BHARU: Lambakan pengemis khususnya warga asing di negara ini berpunca daripada sikap pemurah rakyat yang mudah bersimpati dengan mereka.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Roslan Baba berkata pengemis menggunakan pelbagai cara meraih simpati termasuk keadaan kesihatan mereka serta kanak-kanak yang dibawa sehingga mereka mampu meraih kutipan sehingga RM100 dalam tempoh 3 jam.

“Ada pengemis menggunakan kaedah keagamaan dalam mengutip derma sehingga mengelirukan masyarakat. Sekiranya mereka golongan asnaf, kerajaan sudah mempunyai saluran membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyertai kempen membanteras pengemis di Pasar Borong Wakaf Che Yeh malam tadi.

Roslan berkata pada musim perayaan, pengemis mampu meraih pendapatan sehingga ribuan ringgit disebabkan sikap pemurah rakyat negara ini.

Beliau berkata dianggarkan 95% pengemis di Kelantan adalah warga asing Thailand, Myanmar dan Kemboja.

“Kebanyakan mereka menyewa rumah di sini dan sekiranya ditangkap mereka akan dihantar pulang ke negara asal namun mereka tidak serik kembali ke sini kerana jarak yang dekat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat bersama dalam kempen membanteras pengemis sebelum ia menjadi “wabak” dalam masyarakat negara ini.

Tiada ulasan: