Sabtu, 20 Mei 2017

Pelajar tahun lima mangsa pertama maut akibat denggi di Terengganu

MALAYSIA GAZETTE
Seorang pegawai dari Unit Kawalan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memasukan sample air yang mengandungi jentik-jentik ketika Ops Gempur Aedes. foto MalaysiaGazette


BESUT – Seorang pelajar perempuan tahun lima menjadi mangsa pertama yang maut akibat demam denggi di Terengganu tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohamad Omar berkata Nur Istinadiana Che Dollah, 11, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Raja Besut, meninggal dunia Khamis lepas semasa menjalani rawatan di Hospital Sutanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Katanya, mangsa mengalami gejala awal seperti demam, batuk, selesema dan hilang selera makan pada 14 Mei lepas, malah telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di sini.

“Bagaimanapun empat hari kemudian mangsa telah dibawa oleh bapanya untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kampung Raja setelah didapati tidak stabil sebelum dirujuk ke Hospital Besut dan dikejarkan ke HSNZ pula untuk rawatan lanjut.

“Mangsa walaubagaimanapun telah meninggal dunia kira-kira pukul 8.02 pagi, Khamis lepas,” katanya pada sidang media di kediaman mangsa di kampung Sentosa di sini Sabtu.

Tambahnya, Nur Istinadiana merupakan anak kedua daripada lima beradik, adalah mangsa pertama daripada 133 kes yang dilaporkan sehingga pertengahan Mei tahun ini.

Pada tahun lepas, sebanyak 1,500 kes dikesan di seluruh negeri dengan membabitkan 20 kematian dan kini tumpuan pembersihan dan pencegahan sedang giat dilaksanakan di sekitar kampung Sentosa memandangkan ia telah dikenal pasti sebagai lokasi denggi dengan mencatat empat kematian pada tahun lepas.

Ujarnya, tumpuan khusus juga sedang diberikan terhadap dua daerah iaitu di Kuala Terengganu membabitkan kampung Pulau Rusa Hilir dan Besut di kampung Gelam Mas, kedua-duanya mencatatkan kes denggi tertinggi dilaporkan berbanding daerah lain.— BERNAMA


Tiada ulasan: