Selasa, 23 Mei 2017

Pelajar Kelantan peluang belajar di Tunisia

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

 


SELEPAS kejayaan kerjasama akademik kerajaan Kelantan dengan Turki dan Arab Saudi, kini Tunisia turut membuka peluang kepada pelajar dari negeri tersebut.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, rakyat Kelantan bakal berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Tunisia tidak lama lagi.

Katanya, pada dasarnya universiti di negara berkenaan bersetuju menerima pelajar Kelantan yang ingin melanjutkan pengajian di Universiti Zaytuna

“Menariknya, universiti berkenaan akan mengenakan bayaran yuran sama seperti rakyat mereka iaitu antara RM300 hingga RM500 setahun.

“Sehingga kini seramai 11 pelajar Malaysia belajar di sana,” ujarnya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2016 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa hari ini.

Seramai 755 pelajar cemerlang SPM, STAM dan STPM 2016 menerima cenderahati kerajaan negeri sebanyak RM500 seorang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan Pengarah Yik, Tengku Abdul Rahman Tuan Yunus.


Selain itu, menurut Mohd Amar peluang melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam turut terbuka di Universiti Islam Madinah, Morocco, Turki, Mesir dan Jordan. – HARAKAHDAILY



Tiada ulasan: