Isnin, 29 Mei 2017

PAS yakin mampu rampas Terengganu semula pada PRU14

Oleh Zulkifli Sulong
PAS yakin mampu rampas Terengganu semula pada PRU14
PAS percaya keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 akan menyaksikan ia memenangi 18 daripada 32 kerusi, dan mengambil alih pentadbiran negeri buat kali pertama sejak 1999. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
TERDAPAT rumor sedang berlegar di Terengganu dan ia datang daripada kem PAS.

Parti Islam itu percaya apabila keputusan bagi negeri pantai timur dikira pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ia akan menyaksikan PAS memenangi 18 daripada 32 kerusi, dan mengambil alih pentadbiran negeri buat kali pertama sejak 1999.

Faktor utama bagi pandangan optimis ini: Perbalahan dalaman kronik di kalangan pemimpin Umno negeri dan ketidakupayaan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman untuk menjalinkan perpaduan.

Ia menjejaskan aktiviti parti di peringkat kampung, di mana semakin kurang aktiviti diadakan.

Malah, khabar dari Putrajaya ialah Timbalan Menteri Komunikasi Jailani Johari dan ahli Parlimen Hulu Terengganu mungkin diturunkan ke kerusi negeri dan dikenal pasti sebagai menteri besar akan datang bagi mengetuai Umno negeri.

Pemimpin akar umbi PAS juga percaya semangat parti membawa pindaan undang-undang syariah berjaya menarik lebih ramai penyokong dalam satu daripada negeri paling konservatif di Malaysia itu.

Rang undang-undang untuk mengukuhkan kod keseksaan Islam atau lebih dikenali sebagai RUU355 tidak mungkin diluluskan Parlimen tetapi Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan ahli Parlimen PAS lain diberikan peluang membentangkan usul itu.

PAS menggunakan kesempatan peristiwa itu sebagai bukti sejauh mana ia mampu menjadi satu kuasa politik di Malaysia, dan bagaimana ia berjaya membantu menjayakan agenda Islam di negara ini.

Ahli politik PAS ditemuramah The Malaysian Insight berkata pengundi Melayu di Terengganu hanya mengundi PAS atau Umno, dan dengan Umno kini lemah, memberikan jalan mudah kepada parti Islam itu.

Mereka memperlecehkan ancaman PKR atau Amanah.

"Lihat dalam pilihan raya umum lalu (2013), calon PKR yang bertanding hanya mendapat beberapa puluh undi apabila bertanding melawan PAS dan BN (Barisan Nasional) dalam kawasan itu," kata Zakaria Abdul Rahman, AJK cawangan PAS di Marang kepada The Malaysian Insight.

Pada PRU13, PAS memutuskan untuk meletakkan juga calon mereka di tiga kerusi PKR walaupun ia diputuskan untuk PKR dalam rundingan dengan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Ia menyebabkan pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dan PKR berlaku di kerusi DUN Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi. Keputusan menyaksikan calon PKR kalah teruk dan hilang deposit mereka.

Calon PKR di DUN Seberang Takir hanya mendapat 73 undi, Kota Putera (60) manakala Bukit Besi (52).

"Itulah yang akan berlaku kepada calon ketiga sama ada daripada PKR, Amanah atau Bersatu jika masuk bertanding di negeri ini dalam pertandingan tiga penjuruapabila PAS tidak menyokong mereka," kata Zakaria yang bertugas di bilik gerakan PAS sejak beberapa pilihan raya umum lalu.

Beliau menjangkakan PAS Terengganu akan memenangi 18 daripada 32 kerusi yang ditawarkan di negeri itu.

Tetapi bagaimana pula dengan Amanah, parti yang ditubuhkan bekas orang kuat PAS?

Mohd Nor Abdullah, ahli jawatankuasa cawangan Marang, berkata: "Semasa ia mula-mula ditubuhkan dahulu, ada juga orang datang mendengar ceramah mereka, itupun kerana orang mahu tahu. Tetapi selepas itu, para penyokong Amanah senyap sahaja tambahan pula Amanah hanya menjadi kuda tunggangan DAP sahaja bagi kami."

Beliau juga tidak percaya ahli PAS di negeri ini akan menyertai Amanah kerana kesetiaan mereka adalah untuk perjuangan parti dan bukan kepada pemimpin tertentu.

"Jika Tok Guru (Hadi) lompat parti pun, kami akan kekal dengan PAS," kata Mohd Nor.

Untuk membuktikannya, tiada seorang pun daripada lebih 100 ahli PAS di cawangannya lari meninggalkan parti apabila Amanah ditubuhkan.

Tiada ulasan: