Khamis, 4 Mei 2017

PAS tidak seperti Pakatan Harapan, kata Ulama PAS S’gor

Berita Daily Staff

Pakatan Harapan pimpinan DAP adalah lebih jauh daripada Islam yang menolak secara langsung fungsi dan peranan agama dalam kehidupan lebih-lebih lagi Islam

KUALA LUMPUR: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor berkata DAP, PKR dan Amanah tidak akan memahami perjuangan dan cara PAS berjuang kalau mereka tidak memahami al-Quran dan Hadis.

Beliau turut menegas bahawa DAP di bawah Pakatan Harapan adalah parti sosialisme, sekular dan liberalisme.

“Pakatan Harapan pimpinan DAP adalah lebih jauh daripada Islam yang menolak secara langsung fungsi dan peranan agama dalam kehidupan lebih-lebih lagi Islam.”

“Mana mungkin mereka DAP, PKR dan Amanah memahami perjuangan dan cara PAS berjuang kalau mereka tidak memahami al-Quran dan Hadis atau menolak panduan kedua-duanya dalam urusan politik,” katanya dalam laporan dipetik dari portal Ismaweb.

Mengulas lanjut berkenaan tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengatakan PAS sesat dalam politik, beliau berkata, ia adalah semata-mata untuk memburukkan PAS hanya disebabkan PAS terus istiqamah dengan prinsipnya dan bergerak berpandukan petunjuk wahyu al-Quran dan Hadis.

“PAS sentiasa konsisten dan berpandukan al-Quran dan Hadis, Ijmak dan Qiyas dalam apa jua dalam setiap keputusan dan tindakan malah sentiasa dipantau oleh Majlis Syura Ulamak agar PAS tetap utuh dengan dasar Islam,”ujar beliau sambil menambah setiap isu negara, politik dan semasa ditangani PAS berprinsip dan berpandukan hidayah Islam.

Jelasnya, dasar perjuangan Umno BN, DAP dan PH lain adalah bagi pandangan PAS tidak selari dengan maksud Islam sebenar yang dipasakkan dalam perlembagaan dan dengan itu PAS terus dan tetap dengan perjuangannya bagi memastikan Islam sebenar itu dapat dipraktikkan.

“Umno dan BN dengan dasar Nasionalisme Sekularisme yang tidak selari dengan prinsip Islam walaupun ada beberapa sumbangan pada sebahagian syiar Islam.

“Pakatan Harapan pimpinan DAP adalah lebih jauh daripada Islam iaitu sosialisme, sekular, liberalisme yang menolak secara langsung fungsi dan peranan agama dalam kehidupan lebih-lebih lagi Islam,”katanya.

“Atas sebab itu, PAS selama kedua-dua jalur tersebut yang tidak berta’abbud dan tunduk kepada Islam yang syumul, selama itu PAS akan tetap berjuang dan istiqamah dalam arena politik demokrasi di negara ini,”tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Muhammad Najhan turut mengakui bahawa penyertaan PAS di lapangan politik pilihan raya merupakan ijtihad berani PAS berpandukan empat sumber Islam bahawa pendekatan muwajahah silmiyah adalah seutama-utama jalan dan taktik bagi menyampaikan Islam dalam konteks dan ruang lingkup prinsip demokrasi.

“PAS memahami realiti politik dalam negara bahawa diversiti bangsa dan agama adalah satu hakikat yang mesti diraikan oleh PAS,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, tahaluf merupakan kaedah strategik untuk membuka laluan dakwah yang lebih luas kepada PAS.

Tiada ulasan: