Jumaat, 19 Mei 2017

PAS tiada kerjasama dengan Pakatan Harapan, Umno

 
Timbalan Presiden PAS berkata mereka sedang memperkasakan blok pembangkang ke-3 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14


tuan-ibrahim-pas 

KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan parti itu tidak akan menyertai Pakatan Harapan (PH) sebaliknya sedang memperkasakan blok pembangkang ke-3 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata ada pihak tertentu dalam PH cuba menimbulkan isu kerjasama PAS dan Umno di mana maklumat itu tidak tepat dengan harapan PAS akan menyertai pakatan tersebut.

“Mereka berharap PAS menyertai PH, namun kita tidak akan bersama mereka.

“Ini kerana prinsip yang dibawa PAS sering kali ditentang beberapa kumpulan dalam pakatan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah hari ini.

Tuan Ibrahim juga membidas pemimpin tertentu dalam PH yang menuduh PAS bekerjasama dengan Umno untuk menghadapi PRU14 termasuk berhubung pengagihan kerusi untuk ditandingi.

“Sebagai pemimpin, kalau kita percaya dengan maklumat yang dikutip di tepi jalan maka tidak layaklah menjadi pemimpin.

“Sepatutnya mereka mendapatkan maklumat yang betul,” katanya sambil menegaskan PAS tidak menjalin sebarang kerjasama politik dengan Umno.

Tiada ulasan: