Isnin, 15 Mei 2017

Pas tetap lawan BN pada PRU14

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man – Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR - Pas akan tetap menentang BN walaupun ada ‘cakap-cakap’ mengatakan parti Islam itu akan menyertai BN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas juga akan meletakkan calon di kebanyakan kerusi Umno-BN pada PRU14.

“Kita lawan BN. Kita tidak bersama BN dan ini kenyataan yang telah dibuat oleh Presiden Pas dan telah pun keluar kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak bahawa kita tidak akan sertai BN.

“Untuk makluman, lebih 90 peratus kerusi yang Pas nak bertanding adalah melawan Umno-BN,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Pas merupakan parti komponen BN yang belum berdaftar.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Mahathir mungkin dibuat kerana kecewa Pas tidak sertai Pakatan Harapan.

“Tak mungkin Mahathir boleh buat kesimpulan begitu, dia orang lama sepatutnya faham,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas semakin kuat selepas memutuskan hubungan dengan PKR.

“Kami rasa lebih bersatu dengan sokongan rakan baru dan rakan sedia ada. Kami rasa masih kuat sebagai parti politik yang senior dan sudah sedia hadapi PRU14 menentang sesiapa saja,” katanya.

Tiada ulasan: