Khamis, 4 Mei 2017

PAS diramal cabar Azmin di Bukit Antarabangsa

11 kerusi DUN yang tidak akan ‘disentuh’ oleh PAS di Selangor adalah  kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di Selangor

KUALA LUMPUR: PAS dijangkakan akan meletakkan calon untuk bertanding di DUN Bukit Antarabangsa untuk menyangkal kepimpinan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar, kata Ketua Eksekutif KUASA Praba Ganesan.

Tindakan itu katanya selaras dengan kesediaan PAS untuk menawan dan mentadbir Selangor bersendiriam menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Untuk menawan Selangor, PAS juga mungkin akan meletakkan calon di Bukit Antarabangsa, kerana jika Azmin kalah dengan calon PAS di sana, mesti akan timbul persoalan kelak,” katanya kepada Berita Daily.

Antara kawasan lain yang turut diramal oleh Praba bakal menyaksikan pertembungan di antara kedua-dua parti itu adalah DUN Kota Damansara dan DUN Semenyih yang sebelum ini ditandingi oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggunakan logo PKR.

Selain kawasan-kawasan Klang khususnya di Pelabuhan Klang, Praba juga menjangkakan kawasan Parlimen Sabak Bernam dan DUN Batu Caves sebagai fokus parti tersebut menentang PKR.

Sabak Bernam merupakan kawasan yang terdiri daripada 81 peratus Melayu, 13 peratus Cina, dan 5 peratus India, DUN di dalamnya adalah Sungai Ayer Tawar dan Sabak.

Manakala Batu Caves yang kini disandang oleh Amiruddin Shaari (PKR) selama dua penggal yang majoriti pengundinya juga Melayu.

“Sebelum ini ada dua kawasan DUN yang PKR bertembung dengan PAS iaitu Kota Damansara dan sebenarnya Semenyih kerana calon PSM di kawasan itu bertanding di bawah logo PKR. Sudah tentu terjadi lagi.

“PAS sudah tentunya akan menumpukan perhatian untuk bertanding di kawasan Klang, yang merupakan kawasan campuran yang ditumpukan oleh PKR sebelum ini. Di Sabak Bernam, PKR dan PAS sudah tentu akan bertanding di sana juga termasuk Batu Caves,” tambahnya.

Sebelum ini PAS dilaporkan berkata kepada Berita Daily bersedia untuk menawan Selangor.

Kesediaan tersebut dinyatakan selepas pengumuman Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad bahawa PAS mahu meletakkan calon di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki berkata, 11 kerusi DUN yang tidak akan dipertandingkan parti itu adalah adalah kawasan-kawasan majoriti pengundi Cina di Selangor.

Jelasnya, sekalipun PAS berminat ia berkemungkinan akan dipertandingkan oleh rakannya di dalam Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

“Apa yang dicadangkan buat masa ini oleh Perhubungan Selangor adalah PAS bertanding di 45 kerusi DUN.
“Sebanyak 56 DUN di Selangor, kemungkinan kawasan-kawasan yang PAS tidak akan bertanding adalah di kawasan majoriti pengundi Cina. Itu kawasan-kawasan yang tidak akan dimasuki PAS,” katanya

Tiada ulasan: