Rabu, 10 Mei 2017

PAS buktikan kuasa kingmaker di Selangor


 
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

SEPERTI yang sudah dinyatakan dalam tulisan lepas, Azmin tidak akan berani cari pasal dengan PAS. Beliau tahu tanpa PAS, tiada lagi yang boleh diharapkan. Pimpinan PKR sudah lama berbulu mata melihat Azmin di tampuk kuasa itu. Kini bulu itu tambah lebat bila exco-exco PAS juga masih di situ.

PAS memiliki 13 kerusi Dun sahaja di Selangor. Ia bersamaan dengan 23% daripada jumlah 56 kerusi di Selangor. Untuk memerintah, 29 kerusi diperlukan. Secara asasnya PAS tidak mampu memerintah dengan hanya 13 kerusi ini sahaja.

Tetapi apa yang dapat kita lihat, PAS berdaya untuk kekal dalam kerajaan Selangor walaupun hampir pasti tidak lagi bertahaluf dengan PKR. Pengumuman Azmin semalam untuk mengekalkan PAS membuat rakan-rakan PH terlopong kempunan. Dengan kuasa eksekutif utama negeri, PAS boleh terus membawa agenda perjuangannya tanpa perlu lagi terikat dengan disiplin atau perjanjian dengan mana-mana parti politik lain.

Itulah hikmatnya kingmaker. Di peringkat nasional, PAS mensasarkan 40 kerusi sahaja, iaitu sekitar 18% dari jumah 222 kerusi parlimen Malaysia. Walaupun tampak lebih kecil bilangannya, tetapi situasi kerusi itu tidak boleh disamakan dengan Selangor kerana BN di sana lemah. Di peringkat nasional, kekuatan PH dan BN boleh dikatakan sekata sekarang. Maka 40 kerusi sudah cukup untuk berperanan sebagai kingmaker.

PAS bijak menggunakan kerakusan nafsu politikus untuk berkuasa sebagai leverage menjadi kingmaker. Matlamat politikus dalam politik sememangnya mahu berkuasa, walau apa jua cara. Jika mereka melihat dengan bersama PAS mereka mampu meraih kuasa, maka mereka tidak akan teragak-agak walaupun secara zahirnya agenda perjuangan antara mereka dan PAS amat berbeza. Inilah ajaran politik Machiavelli.

Dengan kerakusan ini, bargaining power PAS akan lebih kuat. PAS akan tawarkan sesiapa sahaja boleh menumpang kekuatan PAS untuk sama-sama mendapatkan kuasa, dengan syarat mereka boleh setuju dengan agenda perjuangan PAS. PAS tidak kisah individu mana sekalipun di teraju utama negara, asalkan mereka boleh pastikan agenda perjuangan PAS direalisasikan.

Najib nak jalankan Islam? Silakan. Lim Kit Siang sanggup peluk Islam dan mahu laksanakan Islam? Silakan. Asalkan agenda Islam mengikut perancangan. Biar PAS di belakang mencatur. Mereka di depan hanya bertindak akur.

Jika mereka ingkar setelah berkuasa, PAS boleh batalkan kerjasama bila-bila yang menyebabkan kehilangan kuasa dan jatuh. Sanggupkah mereka? Kini Azmin sudah menunjukkan contoh, apakah mereka berani atau tidak.

Inilah maksud kingmaker. Raja pencatur.

Tiada ulasan: