Isnin, 15 Mei 2017

PAN parti gelojoh dan gila kuasa

SAIDAH HAIRAN

 
 
DAKWAAN Timbalan Presiden PAN, Salahudin Ayub bahawa PAS masih terhegeh-hegeh dan menagih kasih dengan kerajaan Selangor menyerlahkan sikap gelojoh dan gila kuasa parti tersebut.
 
Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzwan menegaskan pimpinan PAN juga tidak hormat dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan mereka khususnya yang berada di Selangor.
 
Beliau yang juga Adun Gombak Setia berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Azmin Ali telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS kekal dalam kerajaan berdasarkan mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU ke-13.
 
Tambah beliau ia juga tiada desakan di Selangor untuk PAS keluar dari kerajaan negeri.
 
"Sebaliknya PAN yang menunjukkan sikap kecewanya dengan kenyataan sedemikian. Siapa yang sebenarnya terhegeh-hegeh dan menelan air liur...?" soalnya.
 
Beliau turut menegaskan tidak timbul soal PAS menagih kasih pada sesiapa sebaliknya PAS bekerja dalam kerajaan dengan sikap saling hormat-menghormati antara tiga parti.
 
Katanya, kesepakatan dan kerjasama antara tiga parti DAP, PKR dan PAS dalam kerajaan negeri telah dipakati sejak tahun 2008 dan dibaharui pada tahun 2013. – HARAKAHDAILY
 
 

Tiada ulasan: