Sabtu, 20 Mei 2017

‘Orang tampar saya, saya perlu minta maaf?’

MALAYSIAKINI


Pengarah filem Datuk David Teo menyifatkan dunia ini pelik apabila dirinya yang dikasari pada majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Putrajaya, Rabu lalu, dituntut untuk meminta maaf.

"Seseorang tampar saya, tetapi saya perlu minta maaf kepada dia dan orang ramai? Dunia yang pelik," katanya yang dipetik oleh portal Free Malaysia Today.

Teo juga dipetik sebagai berkata, isu tersebut sebenarnya sudah selesai pada malam kejadian dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri sudah memaafkannya.

"Tiada keperluan untuk saya memohon maaf sekali lagi melainkan PM sendiri mahu saya berbuat demikian.

"Bagaimanapun, saya sudah jelaskan kepada beliau yang saya hanya terkejut dengan apa yang berlaku," katanya.

Sebelum ini, Teo menafikan beliau bertindak biadab terhadap perdana menteri.

Sesi dialog Perdana Menteri bersama penggiat seni tanah air pada Rabu lalu itu bertukar menjadi kecoh apabila tanpa diduga pelawak Sulaiman Yassin bertindak mengasari Teo.

Teo didakwa telah meninggikan suaranya selepas tidak mendapat peluang untuk bercakap semasa dialog berkenaan.

Beliau mendakwa moderator, Datuk Rosyam Nor, dan Najib, hanya memberi perhatian kepada mereka yang di hadapan mereka, dan bukannya kepada hadirin yang duduk di belakang auditorium.

Rosyam kemudiannya bersetuju untuk memberi Teo peluang untuk bercakap selepas pengarah itu bersetuju untuk bertenang.

Walau bagaimanapun,
 Sulaiman yang tiba-tiba muncul dari belakang terus menampar Teo.

Susulan kejadian itu, beberapa NGO Melayu, termasuk Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN) tampil menuntut Teo meminta maaf secara terbuka kepada semua rakyat atas alasan pengarah filem itu bersikap kurang ajar.

NGO itu turut mengucapkan tahniah kepada Sulaiman yang juga dikenali sebagai Mat Over kerana menghentikan ucapan Teo.

Bagi Pertubuhan Pembela Nasib Melayu (PEMBELA) yang diketuai oleh bekas tentera Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju, Teo jelas bersalah dan menunut penerbit filem itu dihukum.

Selain meminta pihak berkuasa untuk mengharamkan filem Teo di TV, beliau juga mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menarik serta merta gelaran ‘mejar kerhormat’ yang disandang oleh Teo.

Semalam, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata, walaupun Teo dan penyerangnya, Sulaiman, kemudiannya berjabat tangan atas permintaan perdana menteri, namun kes itu tetap akan disiasat.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan, dan jika disabitkan (kesalahan) boleh dihukum penjara sampai setahun atau denda hingga RM2,000.


Tiada ulasan: