Ahad, 7 Mei 2017

Media guna istilah 'gugur' berniat jahat ke atas saya - Iskandar Samad

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Datuk Iskandar Abdul Samad berkata laporan media bahawa beliau 'digugurkan' daripada jawatan Pesuruhjaya PAS Selangor adalah berniat jahat.
 
Iskandar bertegas, beliau bukannya digugurkan tetapi diberikan tugas yang lebih besar untuk menjaga zon tertentu, sebagai persediaan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Polisi baru Naib Presiden tidak jadi Pesuruhjaya. Datuk Mohd Amar dan Idris Ahmad juga bukan Pesuruhjaya. Setiap naib presiden perlu menjaga satu zon.
 
"Sebarang penggunaan perkataan 'gugur' oleh media adalah berniat jahat. Jawatan pesuruhjaya tamat semasa muktamar. Selepas muktamar perlantikan baru akan dibuat," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Iskandar berkata demikian mengulas pengumuman Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa beliau tidak lagi menggalas tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor.
 
Kekosongan itu kemudiannya diisi Sallehin Mukhyi, yang juga ADUN Sabak dan bekas Exco Selangor semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Menurut Takiyuddin, Iskandar diamanahkan menjaga dan mengawal selia Zon Tengah dan Selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor).
 
Manakala Idris Ahmad akan menjaga Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang (Zon Utara).
 
Sementara Mohd Amar memantau Zon Pantai Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan juga Kepulauan Borneo (Sabah dan Sarawak).
 
 

Tiada ulasan: