Ahad, 21 Mei 2017

Mat rempit maut ketika lumba haram

Bernama

 


Seorang remaja lelaki dipercayai mat rempit maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta ketika sedang berlumba haram di Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, mangsa yang berumur 19 tahun dari Sungai Siput, maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak DSP Mohd Mahiri Hussin berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC, bergerak dalam sekumpulan mat rempit yang menjalankan aktiviti lumba haram di kawasan tersebut.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki berumur 21 tahun merempuh belakang motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan maut.

"Selepas rempuhan berlaku, pemandu lelaki tersebut kemudiannya ditahan oleh kumpulan mat rempit tersebut dan memukulnya beberapa kali," katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Mohd Mahiri berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat, manakala pemandu kereta berkenaan menerima rawatan lanjut di hospital yang sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Dalam kemalangan berasingan, seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas Perak Transit di Kilometer 41.8 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, 30 kilometer dari sini kira-kira pukul 8.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supt Abd. Fatah Abd. Rahman berkata mangsa dikenali sebagai Mohd Farhan Razali, 24, dari Kuala Kangsar maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit.

Katanya kejadian berlaku apabila mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dari arah Ipoh, tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bas yang datang dari arah tersebut.

"Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta telah tersepit di tempat duduknya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi di Ipoh ini.

Sementara itu, pemandu bas, Abdul Samat Abu Hashim, 55, putus jari kelingking, konduktor bas, N. Krishnan Vanni, 57, pula patah tangan kanan, manakala dua penumpang bas tersebut cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk rawatan lanjut. -Bernama

Tiada ulasan: