Khamis, 11 Mei 2017

Maslahah jadi kata kunci PAS di Selangor

Shakira Buang


Keputusan muktamad sudah dibuat bahawa tiada lagi kerjasama politik (tahaluf siyasi) antara PAS dengan PKR.

Namun badan tertinggi yang membuat keputusan itu dalam PAS - Majlis Syura Ulama - menyerahkan kepada kepimpinan parti itu di peringkat Selangor untuk membuat langkah selanjutnya.

Itu mesej jelas dinyatakan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawazi Salleh hari ini.

Beliau menyatakan pendirian rasmi PAS itu pada sidang media di ibu pejabat parti berkenaan petang ini.

Anggota Majlis Syura Ulama PAS sebelum itu mengadakan mesyuarat bermula kira-kira jam 3.30 petang untuk membincangkan kedudukan usul yang diterima sebulat suara pada muktamar di Alor Setar baru-baru ini.

Menurut Nik Muhammad Zawawi, keputusan memuktamadkan berakhirnya kerjasama politik dengan PKR hari ini juga dibuat sebulat suara.

Namun ketika kerjasama itu secara rasmi berakhir, kedudukan PAS di Selangor tetap menjadi perhatian utama.

Hal itu kerana PAS adalah sebahagian daripada komponen kerajaan negeri yang dianggotai semua seteru politiknya.

Selain PKR, exco Selangor adalah daripada wakil DAP.

Penguasaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga diwujudkan oleh gabuang PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Daripada 56 kerusi DUN itu, pembangkang - yang diwakili Umno - hanya menguasai 12 kerusi, sama seperti PAS.

Jika PAS menarik diri daripada kerajaan negeri, gabungan PKR, DAP dan AMANAH tetap 32 majoriti di DUN Selangor.

Memberikan justifikasi kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi berkata, keputusan mengenai kedudukan mereka di Selangor perlu dibuat berdasarkan kepentingan rakyat.

Alasan sama turut diberikan oleh PAS Selangor.

Bercakap kepada Malaysiakini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, berkata walaupun kerjasama politik dengan PKR secara rasmi, mereka akan kekal dalam kerajaan negeri.


"Kalau (di peringkat) kerajaan negeri, PAS akan terus berada dalam kerajaan Selangor sebab kerajaan itu bertujuan untuk menjaga maslahah rakyat.

"Oleh sebab itu kerajaan yang ada sekarang ini, yang dibina melalui mandat rakyat dalam pilihan raya yang lalu antara PAS, PKR dan DAP bersetuju untuk berada dalam kerajaan," katanya.


Tiada ulasan: