Selasa, 23 Mei 2017

Mapim kesal kerajaan terus terlibat TPPA

MOHD AZMI ABDUL HAMID




MAPIM kesal terhadap kenyataan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, bahawa proses pemindaan undang-undang yang berkaitan Hak Intelek akan terus dilanjutkan walaupun TPPA (Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik) kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila Amerika Syarikat (AS) keluar dari perjanjian tersebut.

Dakwaan bahawa pindaan undang-undang diperlukan bukan sahaja atas nama mematuhi syarat TPPA, tetapi atas nama keperluan semasa, namun, semua tahu bahawa desakan awal untuk meminda klausa Hak Intelek adalah datang daripada tekanan AS itu sendiri.

Tidak munasabah pindaan hendak diteruskan, pada hal dalam perundingan perjanjian tersebut, Malaysia dan beberapa negara lain berusaha menghalang industri ubatan dari dikuasai oleh AS .

Dengan pindaan yang akan diperkenalkan berkaitan dengan isu Hak Intelek, ia akan menjejaskan akses rakyat untuk mendapat ubat generik.  Malaysia akan mendedahkan rakyatnya kepada eskploitasi syarikat gergasi Farmasi dari AS. Anehnya kesihatan rakyat Malaysia sanggup diperjudikan oleh MITI sendiri apabila ubatan untuk merawat pelbagai penyakit dikuasai oleh syarikat gergasi dari AS sendiri.

Ini jelas suatu petanda bahawa kerajaan Malaysia masih tidak mengendah teguran pelbagai pihak selama ini bahawa liberalisasi perdagangan dalam TPPA dengan segala implikasi yang bakal membebankan,  bakal menjerat negara ini melalui klausa-klausa yang mengikat .

Keputusan MITI untuk meneruskan penyertaan dalam TPPA sukar diterima, dalam keadaan status perjanjian itu tidak menentu dan ekonomi dunia tidak jelas, akibat hegemoni AS dan kuasa besar negara yang lain.

Setelah AS keluar daripada TPP kami tidak nampak perjanjian itu releven dan berdaya maju. AS mempunyai agenda untuk mendominasi ekonomi dunia. Presiden Donald Trump melihat TPPA tidak menyakinkan bahawa AS akan mencapai hasrat tersebut. Beliau mahu Amerika menjadi nombor 1, namun, apa yang dimeterai di TPPA dilihatnya tidak cukup menjamin kedudukan AS. Sebab itu AS keluar.

Jika ekonomi AS yang berkali ganda besar dari Malaysia melihat ada lagi kepentingannya tidak terjamin, kenapa pula Malaysia tidak nampak risiko menyertai TPPA.
Menteri MITI dilaporkan berkata Malaysia akan terus terlibat untuk membincangkan TPPA agar diteruskan dan mahu menyertai diskusi lanjut mencari pilihan yang lain. Walaupun beliau memberi jaminan kepentingan rakyat Malaysia akan tetap menjadi keutamaan, namun kami berpendapat, meneruskan penyertaan dalam TPPA itu sendiri adalah satu risiko, yang belum tentu dapat meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan yang lain.
Kenapa MITI  terlalu ghairah untuk terus melanjutkan proses pemindaan perundangan negara pada hal ia satu perkara yang tidak lagi perlu dilakukan atas nama TPPA. Adalah sangat aneh, apabila kerajaan mahu terus meletakkan negara dalam risiko.

Pindaan undang-undang berkaitan dengan IPR (Intelectual Property Rights) akan melibatkan kos kesihatan, yang akan ditanggung oleh rakyat. Ini adalah suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral. Sepatutnya kerajaan sudah dapat melihat kesan negatif yang bakal ditanggung oleh rakyat akibat pindaan undang-undang tersebut.

Kami menuntut:

1.Kerajaan Malaysia keluar serta-merta daripada TPPA dan tidak meneruskan dialog dengan negara-negara yang turut menandatangani perjanjian tersebut.

2.Menghentikan proses meminda undang-undang negara yang telah dimulakan sejak TPPA dimeterai.

3.Menilai semula pembinaan ekonomi negara dengan menumpukan kepada mewujudkan urustadbir ekonomi yang baik dan mapan, mengelakkan pembaziran, melaksanakan pengurusan sumber secara cermat dan berhemat dan sekali gus menyekat dan membasmi korupsi dan salahguna khazanah negara. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: