Sabtu, 6 Mei 2017

Mampukah kuasa SPRM turunkan harga rumah?






 
Oleh Tuan Asri Tuan Hussein

Saya selalu terfikir mampukah anak-anak saya memiliki rumah apabila mereka dewasa kelak. Jikapun boleh, apakah jenis rumah dan berapa agaknya keluasan rumah yang dimiliki itu?

Harga rumah memang topik hangat sejak dulu, kini dan selamanya. Ini kerana, sudah fitrah setiap daripada kita memerlukan rumah sebagai tempat tinggal, baik kecil atau besar, bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Topik itu bertambah panas sejak kira-kira lima tahun kebelakangan ini apabila peningkatan harga rumah berlaku begitu pantas dan sukar dibendung hingga harganya kini boleh dianggap keterlaluan, malah ada yang sampai ke tahap tidak masuk akal.

Harga rumah amat berkait rapat dengan lokasi, namun secara umum di Lembah Klang dan bandar utama pada masa ini boleh dikatakan sudah tiada rumah yang berharga di bawah RM200,000.

Untuk rumah jenis ‘di atas awan’ iaitu pangsapuri dengan keluasan lantai kira-kira 1,000 kaki persegi, harganya kini mencecah RM400,000.

Jika mahu memiliki rumah jenis ‘di atas tanah’ maksudnya teres, berkembar atau banglo harganya tidak kurang RM400,000 atau RM500,000 hinggalah RM2 juta atau RM3 juta.

Sebagai contoh, di Semenyih, Selangor yang rumah berkembar dengan saiz tanah 7,500 kaki persegi, harganya sekitar RM850,000 tapi di Eco Hill, Semenyih, kawasan yang dianggap elit, harganya mencecah RM2 juta untuk rumah jenis dan saiz yang sama.

Jika di Ampang atau Datuk Keramat, Kuala Lumpur, harga rumah menjadi lebih ‘gila’ kerana ada rumah teres lot tepi yang ada berkeluasan tanah tak sampai 5,000 kaki persegi, harganya boleh mencecah RM 1 juta.

Jika kita menunggu harga rumah turun, ia ibarat menanti bulan jatuh ke riba, sebaliknya banyak pihak menjangka harga akan terus naik lagi, lagi dan lagi.

Bagaimanapun, kelmarin saya seakan-akan mendapat sinar baru dan diberi harapan bahawa masih ada cahaya di penghujung terowong dalam kemelut harga rumah ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berkata peningkatan harga rumah yang keterlaluan pada masa ini ada kaitan dengan amalan rasuah membabitkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta.

Beliau percaya jika amalan jijik itu berjaya dicegah harga rumah dalam industri perumahan akan turun antara 20 hingga 30 peratus.

“Kita tahu setiap proses membabitkan kelulusan akan membabitkan wang, tetapi SPRM tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mangsa termasuk pemaju sendiri,” katanya ketika Diskusi Rasuah antara Media dan SPRM, di pejabatnya, kelmarin.

Dzulkifli berkata, SPRM akan bertemu dengan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) dalam masa terdekat untuk membincangkan isu itu.

Kenyataan bos besar SPRM ini saya terima dengan perasaan bercampur baur. Pertama, saya sedih dan kecewa kerana ketidakjujuran dan kerakusan sesetengah pihak yang makan rasuah, rakyat keseluruhan yang menderita.

Disebabkan ‘dua tiga kerat’ manusia yang tamak haloba dan terlupa soal halal haram, harga rumah melambung tinggi hingga menyusahkan banyak pihak.

Kedua, saya gembira kerana rupa-rupanya masih ada kemungkinan untuk harga rumah turun. Biarpun cuma 20 hingga 30 peratus, ia sesuatu yang baik dan pastinya menggembirakan semua pihak.

Bagaimanapun, pada masa sama timbul juga persoalan mampukah kemungkinan ini menjadi realiti? Bolehkah amalan rasuah yang sekian lama menjadi duri dalam daging dalam sistem pentadbiran negara kita dicantas hingga ke akar umbi?

Saya tidak mahu menjadi individu yang pesimistik. Saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada SPRM untuk melakukan yang terbaik bagi menghentikan rasuah di dalam industri perumahan supaya berlaku penurunan harga rumah.

Biarpun ada pihak yang menganggap perkara ini sesuatu yang mustahil, saya berharap SPRM memiliki ‘bola ajaib’ untuk mengubah tanggapan itu demi kepentingan rakyat marhain secara keseluruhan.

Tiada ulasan: