Selasa, 2 Mei 2017

Mahkamah benarkan Perkasa celah kes saman Zakir Naik

 
Plaintif dan defendan tidak membantah permohonan Perkasa untuk mencelah saman terhadap kerajaan dan pegawai kanan kerajaan oleh 19 aktivis.


Zakir-Naik

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Perkasa menjadi pencelah dalam kes saman yang difailkan 19 orang terhadap penceramah kontroversi Zakir Naik.

Plaintif dan defenden tidak membantah permohonan Perkasa untuk mencelah. “Beliau mengalakkan terorisme di khalayak ramai,” kata mereka dalam saman itu.

Kumpulan itu mahu mendapatkan perintah mahkamah mengisytiharkan Zakir ancaman kepada Malaysia, dan dengan itu, perintah menghalang beliau memasuki atau berada di negara ini. Mereka juga mahu polis menangkapnya.

Saman itu menamakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketua pengarah imigresen, ketua pengarah jabatan pendaftaran negara, ketua polis negara dan kerajaan Malaysia.

Antara 19 terbabit adalah Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy, Adun Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kasim dan Pengarah Pusat Inisiatif Dasar Lim Tech Ghee.

Saman ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini supaya plaintif dan defendan boleh menyatakan sama ada mereka membantah permohonan Perkasa untuk mencelah.

Malaysiakini memetik peguam Perkasa Adnan Seman sebagai berkata Perkasa, selaku sebuah NGO yang mempunyai “tanggungjawab untuk melindungi Islam sebagai agama persekutuan”, mempunyai lokus standi untuk mencelah.

Sementara itu, peguam Hindraf Kartigesan Shanmugam berkata Hakim Kamaludin Md Said memberi arahan kepada pencelah supaya membataskan jawapan mereka kepada perkara yang dibangkitkan dalam afidavit kerana ia hanya mengenai isu keselamatan negara dan status penduduk tetap (PR) Zakir.

Kerajaan baru-baru ini mendedahkan, selepas desakan daripada Hindraf dan lain, Zakir diberi PR 5 tahun lalu.

Kamaludin menetapkan 20 Julai untuk pengurusan kes seterusnya.

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India untuk disoal siasat mengenai pengubahan wang dan aktiviti berkaitan pengganas. Beliau melarikan diri dari India dan tidak pulang sehingga kini.

Beliau dilaporkan dilarang memasuki United Kingdom dan Kanada, selepas dikatakan menyokong kumpulan pengganas.

Julai lepas, kerajaan Bangladesh mengharamkan Peace TV, saluran oleh Zakir, susulan dakwaan ia menghasut terorisme.

Tiada ulasan: