Khamis, 4 Mei 2017

Logo PH Macam Tiru Taman Tema, Cap Kacang Tanah?





MUNGKIN ramai masih ingat lagi kontroversi logo Parti Amanah Negara (PAN) yang dilancarkan pada Hari Malaysia 2015 lalu yang dikatakan hampir menyamai lambang sebuah stesen TV di India.


Bukan itu sahaja, logo Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga mencetuskan kritikan pelbagai pihak kerana konon dianggap ‘ciplak’ lambang kelopak bunga daripada imej korporat sebuah rangkaian klinik botoks terkenal.

Hari ini, isunya lebih kurang sama tetapi jauh lebih lucu apabila logo Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat dua tahun lalu turut dikutuk netizen kerana amat buruk dan juga tidak serius.

Logo tersebut ‘dicanangkan’ Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menerusi akaun Facebook beliau pada pagi Rabu dan ia dilapor menerima kira-kira seribu tanda suka selain dikongsi lebih 300 kali daripada penyokong pembangkang.

Ahli Parlimen Pandan itu turut menulis keterangan: “Undi Logo PH Yang Anda Suka. Pihak PH akan mendaftarkan satu logo yang akan digunakan bersama oleh semua parti PH dalam tempoh dua minggu lagi.

“Majlis Presiden PH pada minggu lalu telah pun bersetuju untuk menyenarai pendek tiga logo yang berikut bagi dikongsi dengan rakyat Malaysia serta mendapatkan maklum balas.

“Undi logo PH yang anda gemari dengan menaip (di ruang komen): #A, #B atau #C mengikut pilihan anda sendiri. Sebarkan dengan klik ‘share’ kepada seramai mungkin rakyat Malaysia,” tulis Rafizi lagi.

Beliau kemudian turut meletakkan pautan itu kepada portal Malaysiakini, Sinar Harian, Suara Rakyat, Nurul Izzah Anwar, Anwar Ibrahim, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Democratic Action Party dan Tony Pua sebagai hebahan.

Malangnya ketika kepimpinan PH mungkin berasa tiga logo cadangan yang hendak mereka gunakan bersama pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 itu sudah cukup hebat, lain pula reaksi pengguna media sosial tempatan.

Ketika artikel ini ditulis, lebih 1,000 komen yang disiarkan netizen setakat tengah hari Rabu kira-kira selepas enam jam ia dimuat naik oleh Rafizi menerusi Facebook; jelas lebih banyak ulasan berbaur negatif daripada positif.

Kebanyakan komen menyifatkan tiga logo berkenaan tidak menarik. Ada juga kata ia hampir ‘meniru’ logo sebuah taman tema keluarga terkenal dan tidak kurang menyifatkan ia seperti jenama cap kacang tanah yang popular.

Ada juga mengesyorkan kepimpinan PH mengadakan pertandingan mereka logo blok pembangkang itu jika tidak mampu menawarkan lambang sesuai bagi ‘menyaingi’ pihak Barisan Nasional (BN) yang jauh lebih mesra rakyat.

Hakikatnya, jika beginilah logo PH yang sudah menjadi bahan jenaka ramai pihak, bayangkanlah bagaimana jika memerintah negara ini kelak lebih teruk lagi daripada BN malah lihat sahajalah dua negeri ditadbir mereka sendiri.

PH yang diterajui DAP serta dianggotai PKR, PAN dan PPBM mungkin kena berlaku ‘jujur’ dalam isu logo rasmi pakatan tersebut kerana ia perkara serius yang tidak boleh dibuat main-main. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


Tiada ulasan: